26 July 2020

Pembuka Rezeki Pagi

Mulakan pagi anda dengan bismillah dan juga dengan senyuman. Nescaya hari anda akan ceria dan berjalan dengan lancar, insyaallah.

Berikut adalah amalan-amalan pagi yang boleh dilakukan sebelum anda memulakan hari anda:

1. Solat Tahajud

Solat tahajud boleh dilakukan pada tengah malam atau lebih baik pada sepertiga malam, tetapi dengan syarat anda sudah tidur terlebih dahulu sebelum bangun untuk mengerjakan solat.

Sekiranya pagi itu dimulakan dengan solat tahajud, dia akan lebih bersemangat dan gembira pada pagi tersebut. Dan sudah semestinya ia akan mempengaruhi kerja kita pada hari itu.

Kelebihan solat tahajud ini telah dibuktikan oleh Prof. Dr. K.H. Didin Hafiduddin, M.Sc yang berbunyi “Kita harus yakin bahawa Allah SWT akan mempermudahkan urusan hamba-Nya yang selalu ingin dekat dengan-Nya” yang dipetik dari buku 10 Kesaksian Pengamal Tahajud.

2. Doa di Pagi Hari

Doa adalah senjata orang beriman apatah lagi apabila anda berdoa kepadanya pada waktu malam. Lebih afdal jika dimulakan dengan solat tahajud dan sesudah itu barulah memohon doa kepada-Nya, insyaallah lebih mustajab dan akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda “Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir. Lalu ia berkata: ‘Barangsiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepadaKu, akan Aku beri. Sesiapa yang memohon ampun kepadaKu, akan Aku ampunkan hingga terbit fajar.” (HR. Bukhari 1145, Muslim 758)

3. Sedekah

Sedekah boleh dikategorikan dalam pelbagai bentuk, dan tidak semestinya hanya dengan harta benda. Senyuman juga dianggap sedekah. Kenalah dengan kata-kata, mulakan pagi anda dengan senyuman.

Sedekah pagi ini menjadi amalan para sahabat nabi pada zaman dahulu, terutamanya Abu Bakar RA.

“Tidaklah berlalu pagi di setiap hari kecuali ada dua malaikat yang turun dan berdoa, “Ya Allah berikanlah ganti pada yang berinfak” Sedangkan malaikat yang satunya berdoa, “Ya Allah, berikanlah kejatuhan bagi yang enggan bersedekah” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

4. Solat Dhuha

Solat dhuha adalah satu amalan pagi yang akan menjemput rezeki untuk kita pada hari tersebut. Solat dhuha boleh dilakukan dua rakaat hingga lapan rakaat. Dua rakaat solat dhuha bersamaan dengan 360 sedekah hak persendirian, jikalau melakukan lebih maka anda akan mendapat lebih manfaat, insyaallah.

Allah SAW berfirman, “Wahai anak Adam, janganlah engkau luput dari empat rakaat di awal harimu, nescaya Aku akan cukupkan untukmu di sepanjang hari itu.” (HR. Ahmad)

 

Demikian adalah amalan-amalan yang boleh dilakukan pada setiap pagi sebelum anda memulakan kerja-kerja anda. Diharapkan apa yang dikongsi ini dapat dimanfaatkan oleh anda semua, insyaallah sama-samalah kita mengamalkan.

Kongsi untuk manfaat bersama:

Facebook
Email
Twitter
WhatsApp
Telegram

Lain-lain Artikel