26 July 2020

Batalkah Solat Jika Membaca Al-Fatihah Tanpa Tajwid?

Al fatihah

Anda mungkin tidak menyedari wujudnya kesalahan sewaktu membaca Al-Fatihah di dalam solat. Kerana kesalahan ini mungkin berlaku tanpa sedar, ataupun diluar pengetahuan anda.

Kesalahan tersebut perlu dipandang serius oleh semua umat Islam & perlu diperbetulkan supaya solat yang dilakukan dipandang sempurna disisi Allah tambahan pula menurut ulama, setiap kesalahan dalam bacaan Fatihah berisiko untuk membatalkan solat .

Benarkah solat seseorang itu tidak sah jika di baca al-Fatihah dengan tajwid yang salah?

Membaca Surah al-Fatihah di dalam solat adalah rukun solat bagi setiap rakaat samaada solat sunat ataupun fardu. Dalam kata lainnya, tidak dikira solat seoseorang itu sekiranya dia tidak membaca Surah al-Fatihah. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.

Riwayat Al-Bukhari (756)

Bacaan Yang Betul?

Surah al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul lagi sahih dengan meraikan bacaan dengan baris yang betul berserta dengan tajwid dan makhrajnya. Kesalahan dalam tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain tidaklah membatalkan solat namun perlulah diperbaiki bacaan tersebut dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkaliber dan berkelayakan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا 

Maksudnya: Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.

(Al-Muzammil: 4)

Al-Syeikh al-Tantawi Rahimahullah di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya.

Adapun bacaan yang membatalkan solat adalah bacaan yang boleh merubah makna. Sekiranya seseorang membaca  أَنْعَمْتُ(an’amtu) dengan dhommah (baris hadapan) dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalahأَنْعَمْتَ  (an’amta) dengan fathah (baris atas) maka batal solatnya. Sekiranya terlupa maka perlu diulangi bacaan tersebut.

Kesalahan bacaan yang berkaitan dengan hukum hakam tajwid di dalam ilmu tajwid disebut sebagai Lahn al-Khafiy (kesalahan yang tersembunyi) manakala Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas) pula seperti berubah makna, huruf serta baris ayat tersebut dan ini boleh membatalkan solat.

.

.

Kredit : Mufti Wilayah Persekutuan

Kongsi untuk manfaat bersama:

Facebook
Email
Twitter
WhatsApp
Telegram

Lain-lain Artikel