28 July 2020

Solat Itu Tiang Agama

solat itu tiang agama

Solat merupakan rukun yang ke 2 dalam Islam. Ibadah yang wajib kita lakukan. Solat amat penting sehingga ketika berperang sekalipun kita tidak boleh meningggalkannya.

Seorang mukmin yang sejati tidak akan cuai dalam melaksanakannya termasuk menjaga waktu, mematuhi tertib solat di samping mengerjakan ibadat sunat yang termampu olehnya.

 

Sejauh Mana Kita Faham Bahawa Solat Itu Tiang Agama

Solat tepat pada waktu

  • Solat tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika Nabi ternampak seorang menyapu janggutnya ketika solat.Maka Baginda pun bersabda, “Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.”
  • Asas kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam. Keenam-enam itu mengikut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, iaitu kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu.
  • Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat. Pengagungan  dan merasai kehebatan pula bermaksud berasa takut terhadap Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi.Harap bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana DIA saja tempat pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya. Imam Al-Hasan ada berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mempercepatkan mereka kepada seksaan Allah.

 

Kalau kita renungi dan amati, ibadat solat yang kita lakukan dapat melahirkan beberapa sifat kemanusiaan yang unggul, antaranya:

1. Melahirkan umat Islam yang terbaik, kerana ibadat solat dapat mendidik setiap individu memiliki peribadian yang cemerlang didunia dan akhirat.

2. Mencegah kita daripada melakukan perkara-perkara mungkar sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

3. Dapat membantu kita sama ada dalam keadaan senang ataupun susah. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai sekalian orang-orang yang beriman!, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan ) sembahyang, kerana sesungguhnya allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman!, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang,kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

4. Mendidik dan melatih kita menjadi orang yang dapat menghadapi segala kesusahan dengan hati yang tenang dan sabar serta dapat menghilangkan tabiat sombong dan takabur. Ini kerana orang yang benar-benar mendirikan solat tidak sekali-kali takut akan kemiskinan dan keperitan hidup didunia ini.

5. Boleh menghasilkan sifat tetap pendirian, mengekalkan kita dalam mengerjakan sesuatu kebajikan dengan memberi kekuatan, kemahuan. Serta menyuruh kita memelihara peraturan-peraturannya menguatkan sifat displin diri, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam mengambil sesuatu tindakan.

6. Bagi menjadikan hati manusia itu baik dan bersih, ianya perlu dibasuh melalui ibadat solat, membaca al-qurannulkarim dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Ini dapat memberikan ketenangan hati serta melahirkan rasa cinta kepada Allah SWT. Disamping akan memperolehi cahaya iman dengan penuh khusyuk dan tawaduk terhadap perintah allah dan larangannya.

Islam itu lengkap dan mampu menyelesaikan seluruh permasalahan manusia. Rebutlah peluang semasa hidup untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata : “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”

Kongsi untuk manfaat bersama:

Facebook
Email
Twitter
WhatsApp
Telegram

Lain-lain Artikel