28 July 2020

Iman Tidak Dapat Diwarisi

Iman tidak dapat diwarisi merupakan satu ungkapan yang ternyata jelas dan betul. Iman (إيمان) diambil daripada kata kerja ‘Āamana’ (ءامن) yang bermaksud “percaya”. Dalam erti kata lain bahawa seseorang yang mengaku dengan lidahnya mengenai keesaan dan kekuasaan Allah, mestilah membenarkannya dengan hati dan melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya. Iman adalah satu anugerah Allah S.W.T yang sangat bernilai kepada hamba-hambaNya.

“Iman tidak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai”

Satu ungkapan yang disebut di dalam sebuah nasyid oleh kumpulan Raihan iaitu kumpulan nasyid terkenal di Malaysia. Iman bukan sebarangan kerana ia dikurniakan kepada insan yang terpilih. Kita sebagai umat Islam perlulah bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga Islam. Oleh itu, berusahalah kita menjauhi perkara yang yang boleh menjejaskan keimanan kita.

Tanggapan kepada orang lain

Sifat yang suka memberi tanggapan yang negatif kepada orang lain ini perlu dibuang. Tidak semua anak yang baik datangnya daripada keluarganya yang baik. Ada anak yang tidak mengikut keimanan seperti ibubapanya. Ini berlaku kerana jelas iman hadir hanya untuk insan yang terpilih. Oleh itu, janganlah kita menghina seseorang yang baik itu kerana keluarganya yang jahat.

Jagalah mulut kita dari terus mendapat dosa dari mengumpat dan lebih baik kita menilai diri sendiri dulu dimana tahap keimanan kita, Gantilah menghina dengan berdoa yang baik baik kepada mereka supaya mendapat hidayah.

Kisah Nabi Nuh

“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan

– Surah Hud 11:42-43

 

“Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”. Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”

–  Surah Hud 11:45-46

Walaupun Nabi Nuh merupakan kekasih Allah dan utusan Allah, anaknya tidak beriman kepada seruannya. Kesimpulannya, tidak hairanlah di dunia ini seseorang itu mempunyai sifat yang berbeza berbanding keluarganya. Inilah bukti bahawa iman tidak dapat diwarisi.

Menambahkan Keimanan

Iman bagi manusia ada pasang ssurutnya, kadang kadang bertambah dan berkurang. Ia berbeza dengan para rasul yang imannya sentiasa bertambah dan iman malaikat pula sentiasa sama dan tidak berubah. Iman memang tidak dapat diwarisi, tapi iman boleh ditambah.

  • Menghadiri majlis ilmu
  • Memohon pertolongan dengan Allah
  • Memperbanyakkan membaca buku ilmiah
  • Mendekatkan diri dengan Islam
  • Membaca Al Quran
  • Menjauhi larangan Allah
Kesimpulannya

Jelaslah iman tidak dapat diwarisi oleh keturunan. Justeru itu, bersama samalah kita berusaha dalam mengekalkan serta menambah keimanan kita supaya hidup kita sentiasa tenang. Semoga artikel ini bermanfaat kepada semua dan semoga kita sentiasa berada dalam lindungaNya.

 

Kongsi untuk manfaat bersama:

Facebook
Email
Twitter
WhatsApp
Telegram

Lain-lain Artikel