Fadhilat Surah Ad-Dukhan: Asab/Kabut

Adakah anda tahu fadhilat-fadhilat yang anda dapat dari membaca Surah Ad-Dukhan pada setiap malam? Cuba anda bayangkan 7000 malaikat akan memohon ampun untuknya pada malam tersebut apatah lagi mengamalkannya setiap malam. Wallahua’lam

Surah Ad-Dukhan mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri. Intisari setiap ayatnya juga dapat menimbulkan perasaan gerun terhadap azab akhirat jika diselami dengan mendalam. Setiap insan perlulah mengambil iktibar dan mengenang dosa-dosa maksiat yang telah terkubur dalam hati.

 

Fadhilat-fadhilat Surah Ad-Dukhan

 

7000 Malaikat mohon ampun kepada pembaca

Dari Khalil bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Di dalam Al Quran terdapat 7 surah yang dimulai dengan Haa Miim, akan datang di depan setiap pintu neraka jahanam dan memohon kepada Allah SWT dengan katanya; “Ya Allah! Janganlah Dikau masukkan ke dalam neraka ini orang yang percaya kepadaku dan membacaku.” (HR: Al Baihaqi).

Membangkitkan mereka bersama-sama golongan yang mendapat penjagaan dari Allah SWT pada hari kiamat, menaungi mereka di bawah ArsyNya, menghisab dengan mudah dan memberi catatan amal dari sebelah kanan

Dari Abi Ja’far r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang membaca surah Ad-Dukhan dalam solat-solat fardhu dan nafilahnya (sunatnya), maka Allah akan membangkitkannya bersama orang-orang yang mendapatkan penjagaan Allah pada hari Kiamat, menaunginya di bawah Arsy-Nya, menghisabnya dengan mudah dan memberi kitab (catatan amal) nya dari sebelah kanannya.” (HR: Abu Hamzah Tsumali)

Daripada Zaid Ibnu Haritsah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Zayyad; “Sesungguhnya aku simpan sesuatu, maka apakah ia?. Maka Nabi SAW simpan baginya surah Ad-Dukhan, maka baginda bersabda dia ialah (Ad-Dukhan) dan bersabda lagi; Pergilah. Masyaallah, kemudian dia pergi”

Dibina sebuah rumah di Syurga

Dari Umamah pula menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:  “Sesiapa yang membaca surah Ad Dukhan pada malam atau hari Jumaat maka Allah akan membinakan sebuah rumah dalam syurga.” (HR: At Tabrani).

Disebutkan dalam tafsir al-Burhan, dari Nabi SAW bersabda; “Orang yang membacanya (surah ad-Dukhan) pada malam Jumaat, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”  Baginda SAW juga bersabda, “Orang yang membaca surah ad-Dukhan pada malam Jumaat akan dimintakan ampun (atas dosa-dosanya) menjelang paginya oleh tujuh puluh ribu Malaikat.”

 

Penerangan Ayat-ayat Surah Ad-Dukhan

 

  • Ayat 1 -8 : Allah menekankan di dalam surah ini bahawa hanya Allah sahaja yang Maha Mendengar doa kita. Tiada makhluk lain yang sudah mati mahupun hidup selain Allah sahaja tempat untuk kita berdoa. Perkara ini dikategorikan sebagai perkara syirik kerana menduakan Allah. Surah Ad-Dukhan adalah untuk menolak fahaman salah dan memberitahu bahawa hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mendengar dan tahu isi hati hamba-hambaNya.

 

  • Ayat 9 – 18 : Menceritakan sikap Musyrikin Mekah terhadap seruan Nabi Muhammad ke arah fahaman tauhid. Allah telah beri segala hidayah, namun tiada usaha yang dilakukan oleh manusia dan mensia-siakan segalanya. Bahkan mereka tenggelam dalam keraguan padahal sudah terang-terang Allah tekankan. Mereka juga memain-mainkan sehingga diberi ancaman ditimpa kemarau panjang sampai debu berterbangan, tanah menjadi kering dan berdebu teruk. Oleh itu, apabila Kiamat hampir tiba, keadaan akan berasap di seluruh dunia. Maka, kepada mereka yang tidak mahu menerima ajakan tauhid ini, maka tunggulah waktunya apabila Kiamat itu sampai. Mereka akan dihadapkan kepada Allah di Yaumul Mahsyar di mana mereka akan ditanya tentang apakah yang telah mereka lakukan.

 

  • Ayat 19 – 29 : Bumi dan langit menangis. Menceritakan kisah Nabi Musa dan Firaun dan penzaliman terhadap Allah SWT. Zaman Nabi Muhammad SAW mukjizat dalam bentuk bahasa yang hebat iaitu Al-Qur’an. Mukjizat Nabi Musa AS yang ditunjukkan itu ada dua iaitu tongkat baginda عAS yang bertukar menjadi ular dan tangan baginda AS bercahaya selepas meletakkannya di celah ketiak. Firaun sombong kerana memiliki kekayaan dan kekuasaan. Mereka hidup dengan senang lenang dan dalam masa yang sama, mereka memperhambakan Bani Israil. Semua kemewahan dan kesenangan mereka ditinggalkan di dunia. Allah berfirman dalam ayat 29: Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi. Ke mana sahaja kita pergi, tinggalkan perkara baik di tempat itu. Sebagai contoh, apabila kita pergi ke hutan contohnya, laungkan azan untuk solat. Kemudian solatlah di dalam hutan itu. Setelah nyawa kita di hujung-hujung rambut, sudah tiada masa lagi untuk bertaubat seperti Firaun dan tenterannya hampir mati kelemasan dalam laut baru hendak beriman tetapi tidak diterima.

 

  • Ayat 30 – 39 : Allah mengingatkan kepada orang Yahudi dan kita juga betapa mereka telah diberi rahmat dengan diselamatkan. Mereka dulunya menjadi hamba abdi kepada Firaun dan kaum Qibti dan ditindas oleh kaum itu tetapi Allah telah menyelamatkan mereka. Mereka memerintah dengan kuku besi dan dinasti itu telah memperhambakan Bani Israil. Dan mereka juga dikerah untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Antaranya, mereka telah dikerah untuk membina piramid yang kita boleh lihat sampai hari ini. Firaun pada zaman Nabi Musa itu merasa dirinya hebat sehingga dirinya menjadi sombong kerana mempunyai kelebihan kerajaan yang besar dan kekuatan tentera. Selain itu turut memiliki  kekuatan ekonomi dan tamadun yang tinggi. Maka kerana itu dia bersikap sangat teruk, berlagak dan sombong hingga orang bawah dia turut jahat sepertinya. Mereka yang lebih hebat dari penduduk Mekah turut Allah telah musnahkan kerana mereka tidak beriman. Kaum-kaum dulu itu memang hebat tetapi mereka syirik kepada Allah. Dunia dan akhirat ini bukanlah hanya mainan Tuhan sahaja. Benda ini mudah sahaja untuk difahami tetapi ramai yang tidak faham. Kebanyakan manusia tidak tahu yang tuntutan untuk sembah Allah dan berdoa kepada-Nya sahaja adalah tuntutan terpenting dalam agama.

 

  • Ayat 40 – 49 : Ayat ini menerangkan tentang Akhirat serta penindasan Firaun dan natijah jika mengikuti Rasulullah SAW. Kebenaran dan kebatilan juga akan dipisahkan pada hari kiamat. Tidak ada sesiapa yang dapat membantu kita di akhirat melainkan amal kita sendiri. Namun begitu, orang yang telah diberi rahmat oleh Allah terkecuali. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Hanya dengan Allah SWT sahaja kita boleh berharap. Kita hendaklah mengharapkan rahmat dan belas kasihan dari Allah. Tidak ada makanan yang baik-baik untuk penghuni Neraka. Apabila mereka minta makanan, mereka akan diberikan buah dari Pokok Zaqqum. Inilah satu-satunya pokok yang dapat hidup dalam neraka. Ia seperti minyak masak yang telah banyak kali digunakan untuk memasak. Lama-kelamaan ia akan melikat dan pekat berwarna kegelapan. Bila makan sahaja buah Zaqqum itu, ia akan bertukar menjadi minyak yang mendidih. Selain itu, penghuni Neraka akan diseret dengan cara diikat dengan besi ke tengah neraka dan dikenakan seksaan. Kemudian, dicurahkan azab seksa iaitu dari air panas yang menggelegak ke atas kepala mereka. Emosi dan fizikal sepenuhnya diseksa sehinggakan mereka merasa insaf atas dosa-dosa mereka selama ini.

 

  • Ayat 50 – 59 : Al-Quran dipermudahkan. Selepas ini Allah akan senaraikan perkara-perkara yang manusia memang suka dan dambakan. Ada 6 perkara semua sekali iaitu rumah dan pakaian yang selesa, pasangan hidup, makanan yang baik-baik, tempat kediaman yang kekal dan bebas dari kesusahan dan malapetaka. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah. Dalam setiap perbuatan, mereka akan memikirkan apakah kemahuan Allah dalam perkara itu. Ini adalah kerana mereka takut dengan Allah. Mereka hendak menjaga redha Allah. Mereka tidak berani buat perkara yang akan menyebabkan Allah murka. Mereka itulah yang akan menjaga hatinya dari fahaman syirik dan akhirnya akan mati dalam tauhid. Kepada mereka akan diberikan tempat tinggal yang aman sentosa. Mereka selamat dari kesusahan, ketidakselesaan, kerisauan dan sebagainya. Mereka tidak akan ada rasa takut dan tidak akan ada lagi perkara buruk bagi mereka.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan