Fitnah Pemusnah Ummah

Fitnah bermaksud tuduhan yang diada-adakan sama ada ia berbentuk gambar, berita, kisah-kisah dan sebagainya yang boleh memburukkan atau memusnahkan seseorang individu, sesebuah institusi atau kumpulan dan seumpamanya manakala berdasarkan wikipedia pula ialah  fitnah merupakan satu bentuk komunikasi kepada satu pihak atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain, ia berdasarkan atas fakta palsu yang dipengaruhi oleh sifat penghormatan, buruk sangka, obses, atau menjatuhkan dan/atau menaikkan nilai reputasi seseorang atau sesuatu pihak. Firman Allah SWT dalam surah al – Hujurat ayat 6:

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Dua kali hal fitnah diungkapkan di dalam Al-Quran iaitu surah Al-Baqarah ayat 191 dan 217:

“Dan fitnah lebih sadis daripada pembunuhan.” (QS. Al-Baqarah: 191)

“Dan Fitnah lebih besar daripada pembunuhan.” (QS. Al-Baqarah 217)

Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW juga mengatakan perihal fitnah dan keburukannya:

Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat “siapakah orang yang muflis?” lalu mereka berkata “orang yang tidak memiliki kekayaan”. Kemudian Rasulullah SAW berkata “Bukan itu, orang yang muflis adalah orang yang tidak mempunyai amal ibadah.” Lalu sahabat bertanya kembali “Bahkan ketika orang tersebut mengerjakan solat dan puasa?”

Dan Rasulullah SAW menjawab,

“Bahkan ketika dia solat dan puasa karena perbuatan baiknya akan diberikan kepada orang yang terzalimi, dia ghibah dan juga fitnah bahkan perbuatan buruk orang yang di fitnah dan di tindas akan diberikan kepada orang yang memfitnahnya.”

Dalam riwayat lain, Rasulullah bersabda:

“Akan terjadi fitnah, orang yang duduk lebih baik daripada yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik daripada yang berjalan, orang yang berjalan lebih baik daripada yang berlari, barangsiapa yang mencari fitnah maka dia akan terkena pahitnya dan barangsiapa yang menjumpai tempat berlindung maka hendaknya dia berlindung” (HR. Bukhari – Muslim)

Betapa bahayanya fitnah ini dan sebaiknya diajuhkan dari kita sekeluarga serta jauhi juga mulut kita dari memfitnah sesiapa. Oleh itu, setiap manusia perlulah berdoa agar dijauhi dari fitnah.

Doa terhindar dari fitnah

Saya juga tidak faham mengapa berlakunya fitnah ini di kalangan masyarakat lagi-lagi pada zaman sekarang yang mulut lebih laju dari tindakan. Berita palsu mudah tersebar tanpa usul periksa dan netizen mula memberi komen yang kesat tanpa memikirkan sama ada berita itu benar atau palsu serta asal usul berita tersebut. Pada era globalisasi ini fitnah ini mudah berlaku melalui media sosial dan laman sesawang.

Fitnah Zaman Rasulullah SWT

 

Peristiwa al-Ifki ini berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustoliq. Ia merupakan suatu peristiwa melibatkan golongan munafik yang menuduh Aisyah R.A. melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol R.A.. Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau di kalangan penduduk Madinah pada ketika itu. Ada di antara sahabat yang tidak mempercayai berita tersebut. Ada juga yang tidak menyatakan apa-apa pendirian dan ada juga yang menerima bahawa Aisyah R.A. benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol. Di antara sahabat yang mempercayainya dan terlibat dalam penyebaran berita tersebut ialah Mistoh Bin Uthathah, Hamnah Binti Jahsyi dan Hasan Bin Thabit. Keadaan ini berlarutan sehingga sebulan lamanya. Bahkan pada masa yang sama wahyu tertahan dan tidak turun kepada baginda Nabi SAW. Sehinggalah kemudiannya Allah SWT menurunkan ayat ke 11 daripada Surah al-Nur bagi membebaskan Aisyah R.A. daripada tuduhan jahat kaum munafik.

Sayyid Qutb dalam menjelaskan ayat ini menyebutkan; membuat fitnah itu bukannya hanya seorang sahaja dan bukan pula beberapa orang, malah mereka terdiri dari satu kumpulan yang bersatu padu dan mempunyai matlamat yang sama. Orang yang menyebarkan fitnah yang didustai itu bukannya Abdullah ibn Ubay ibn Salul seorang sahaja, tetapi dialah yang mengambil peranan yang terbesar, yang mewakili kaum Yahudi dan kaum Munafiqin yang tidak berupaya memerangi Islam secara terbuka. Mereka telah berselindung di sebalik tabir Islam untuk memusnahkan Islam secara diam-diam.

Dan cerita fitnah yang didustai itu merupakan salah satu dari rancangan-rancangan jahat mereka yang berbisa, tetapi orang-orang Islam telah tertipu dengan di’ayah (pembohongan) mereka lalu turut memperkatakan cerita fitnah itu seperti Hamnah binti Jahsy, Hassan ibn Thabit dan Mistah ibn Uthathah, sedangkan punca yang merancangkan fitnah itu berada di tangan kumpulan itu yang dipimpin oleh Abdullah ibn Ubay ibn Salul, seorang dalang yang sangat berhati-hati dan pintar. Dia tidak pernah menampakkan dirinya dalam perjuangan itu. Dia tidak menuduh secara terus terang hingga dapat ditangkap dan dikenakan hukuman hudud. Dia hanya menyebarkan fitnah itu secara berbisik-bisik di kalangan orang-orangnya yang dipercayai tidak akan menjadi saksi terhadapnya. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 11/374-375)

Kesan Fitnah

 

Terhadap Individu

  • Menjatuhkan maruah individu
  • Menyebabkan pertelagahan, rompakan, samun, berbunuhan antara sesuatu individu yang bertelagah.

Terhadap Keluarga

  • Menyebabkan keluarga sukar untuk saling memahami antara satu sama lain
  • Hubungan antara keluarga sentiasa dipengaruhi rasa tidak tenteram, dendam, tidak mesra, sering bertelagah, pergaduhan, kekasaran, pukul-memukul, bercerai antara suami isteri, kehilangan anak.

Terhadap Masyarakat

  • Masyarakat menjadi tidak muafakat
  • Enggan bekerjasama dalam aktiviti kejiranan, sukarelawan
  • Perbalahan antara komuniti
  • Saling memburukkan antara pelbagai pihak
  • Kemajuan masyarakat menjadi lembab
  • Wujudnya jurang sosial yang luas, pergaduhan, kecurian, rompakan, pembakaran kawasan penduduk
  • Persekitaran yang tidak tenteram, porak peranda.

 

Saranan Dari Al-Quran Menghadapi Fitnah

 

  1. Bersangka baik terhadap semua manusia
  2. Mencari asal-usul atau bukti berita dahulu
  3. Sentiasa ambil peduli terhadap fitnah yang berlaku dan jangan menganggapnya remeh
  4. Jangan bercakap dan menyebarkan fitnah tanpa bukti sama ada ia benar atau tidak
  5. Bersabar jika difitnah dan sentiasa berdoa agar diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan