Kelebihan-kelebihan Surah Al-Mulk

Surah Al-Mulk adalah salah satu surah yang dapat melepaskan diri dari azab neraka, dimasukkan ke pintu Syurga dan dikeluarkan dari pintu Neraka.

Surah Al-Mulk lazimnya diamalkan setiap malam oleh umat Islam kerana surah al-Mulk merupakan salah satu surah yang dapat melepaskan diri dari azab kubur. Namun, terdapat banyak lagi kelebihan yang tidak diketahui oleh segelintir umat Islam yang paling penting perlu dibaca dengan istiqamah dan menjadi amalan rutin harian.

Kelebihan Surah Al-Mulk
Sumber: unsplash.com

Isi-isi Tersirat Daripada Surah Al-Mulk

  • Ayat 1 – 2 : Kedua-dua ayat ini tertumpu kepada kebesaran kerajaan Allah ketika Quraisy menentang Rasulullah, Mereka menanyakan pertanyaan penciptaan manusia sebagai sebaik-baik kejadian untuk melakukan sebaik-baik amal sehingga kematian seseorang itu, kehidupan kedua selepas kematian. Kekuasaan menghapuskan yang ada dan mengadakan semula yang telah tiada adalah asas terpenting memahami kerajaan dan kekuasaan Allah SWT. Allah SWT berfirman:

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

(Al-Mulk 67:2)

  • Ayat 3 – 5 : Ayat ini pula mengukuhkan lagi tentang kewujudan alam akhirat dengan wujudnya 7 petala langit yang dibina di atas langit dunia oleh Allah SWT yang sempurna tanpa kecacatan.

Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

(Al-Mulk 67:3)

  • Ayat 6 – 12 : Konsep kehidupan kedua selepas kematian dihuraikan lebih lanjut dalam ayat-ayat ini dengan mengambil kisah penghuni Neraka yang mengerikan. Sesiapa yang kufur akan disediakan kepadanya azab Neraka Jahannam dan itu adlah seburuk-buruk tempat kembali. Di dalamnya, kedengaran suara jeritan yang meraung-raung dan menggelegak. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Mulk ayat 8:

Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?”

Ahli-ahli Neraka tersebut mengakui bahawa terdapat seorang Rasul yang memberi ingatan dan amaran tetapi mereka mendustakannya. Mereka juga insaf atas dosa-dosa mereka sebagai ahli-ahli kufur yang tidak mendengar dan mengikuti amar makruf nahi mungkar. Manakala, sesiapa yang takut semasa mereka tidak dilihat orang dan tidak melihat azab Tuhan, maka berolehlah keampunan dan pahala yang besar.

  • Ayat 13 – 18 : Allah menciptakan setiap makhluk untuk mengetahui segalanya. Allah SWT menjadikan bumi untuk digunakan, berjalan merata-rata setiap pelosok dunia. Makan dari rezeki kurniaan Allah dan kepada Allah kita kembali. Lahirlah rasa takut kerana Allah SWT kerana dengan sekelip mata bumi tunggang terbalik, lenyap dengan sekelip mata. Itulah jawapan kepada kebiadapan kedua ahli Quraisy. Mereka tidak pun mempedulikan ayat-ayat Neraka dari Rasulullah SAW malah berbisik-bisik untuk melakukan sabotaj pada rencana dakwah Rasulullah SAW. Padahal, Allah SWT lagi berkuasa dalam memusnahkan rencana meeka di bumi.
  • Ayat 19 – 24 : Kebiadapan ketiga ahli Quraisy iaitu mengatakan RAsulullah SAW akan dimusnahkan sendiri oleh berhala-hala mereka dan sebaliknya memberi rezeki kepada mereka terjawab melalui ayat-ayat ini. Walhal,  rezeki yang diperolehi itu berpunca daripada burung-burung yang diutuskan oleh Allah SWT yang hanya Allah sahaja berkuasa mengembang dan menutup sayap burung-burung tersebut. namun, ahli-ahli Quraisy terpedaya dengan membodohkan diri terus menyembah berhala.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”. Katakanlah lagi: “Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”. (Al-Mulk 67: 23-24)

  • Ayat 25 – 27 : Terjawab juga kebiadapan keempat Quraisy yang terus mencabar Rasulullah mendatangkan segera kematian kepada mereka kerana tidak percaya dan menuduh Rasulullah pendusta serta mengada- adakan cerita.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.

(Al-Mulk 67: 26)

  • Ayat 28 – 30 : Selepas sesi menjawab kebiadapan Quraisy dengan kesabaran Allah dan Rasulullah terhadap soalan-soalan dan cabaran Quraisy, maka kesemuanya telah terjawab secara logik dan selari dengan fitrah dari Rasulullah. Namun, mereka lebih memilih untuk menolak. Pada ayat 29, Rasulullah menyerahkan hal Quraisy kepada Allah SWT kerana Rasulullah telah menjalankan semampu baginda boleh tetapi mereka tetap nekad. Ayat 30 menyatakan menutup surah Al-Mulk dengan persoalan kepada ahli Quraisy. Allah SWT berfirman:

Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?”.

(Al-Mulk 67: 30)

Kelebihan-kelebihan Surah Al-Mulk

1. Terlepas Dari Seksaan Kubur

Mengapa dikatakan sedmikian? Sesiapa yang mengamalkannya setiap malam akan diselamatkannya dari azab kubur manakala sesiapa yang membacanya pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti menjawab soalan di alam kubur, membantu bersoal jawab sehinggalah selamat masuk ke Syurga. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk.” 

2. Mendapat Syafaat

Pengamalan surah Al-Mulk akan mendapat keampunan dari Allah SWT. Sesiapa yang membacanya akan mendapat syafaat dan diberi keampuan serta dikeluarkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga.

Daripada Abu Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam al_Quran ada 30 ayat memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diberi keampunan untuknya iaitu surah al-Mulk.

3. Mendapat Keistimewaan

Jika selalu dibaca surah Al-Mulk dalam kehidupan seharian mereka, Allah akan mencerahkan wajahnya seperti Nabi Yusuf pada hari kiamat. Saiyidina Ali berkata: “Sesiapa mengamalkan surah Al-Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamatdi atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.

Selain itu, ulama juga berkata sesiapa yang membacanya akan mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihannya serta dikasihi manusia dan dipandang hebat oleh makhluk.

Hati mereka juga akan bertambah keimanannya kerana surah Al-Mulk tersebut berada dalam hati orang-orang beriman.

4. Sunnah Nabi Muhammad SAW

Membaca surah Al-Mulk juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Baginda tidak akan tidur selagi tidak membaca Surah As-Sajadah dan Al-Mulk. Oleh itu, amalkan surah Al-Mulk sebelum tidur dan jadikan rutin harian kerana ia adalah salah satu sunnah.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan