Solat Dhuha

Solat dhuha biasanya dilakukan pada waktu matahari sedang naik. Waktu paling afdal untuk mengerjakan solat dhuha ialah dalam anggaran matahari naik setinggi 7 hasta atau 3 meter atau lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi.

Zaid bin Aqram r.a. berkata: “Nabi SAW keluar menuju tempat Ahli Quba, di kala itu mereka sedang mengerjakan Solat Dhuha. Baginda bersabda; “Inilah solat orang-orang yang kembali kepada Allah, iaitu di waktu anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu Dhuha.” (HR. Ahmad, Muslim dan Tirmidzi)

Antara kelebihan menunaikan solat dhuha ialah:

 

1. Pesanan (wasiat) dan sunnah Rasulullah SAW kepada seluruh umatnya.

Rasulullah SAW pernah berpesan supaya menjadikan solat dhuha sebagai rutin harian. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. berkata, “Kekasihku (Rasulullah SAW) memberikan pesan (wasiat) kepadaku dengan tiga hal yang tidak pernah aku tinggalkan hingga aku meninggal nanti; iaitu puasa tiga hari setiap bulan, solat Dhuha, dan tidur dalam keadaan sudah mengerjakan solat witir.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

2. Nilai sedekah untuk setiap ruas sendi yang terdapat di tubuh badan manusia.

Jadikan solat dhuha sebagai sedekah. Diriwayatkan daripada Buraidah bahawa, “Aku telah mendengar Rasulullah bersabda; Pada diri manusia terdapat 363 ruas. Ia memiliki kewajipan bersedekah atas setiap ruas tersebut. Para sahabat bertanya, Siapakah yang mampu melakukan hal itu, wahai Rasulullah? Baginda bersabda, Ludah di dalam masjid yang ia timbun(dibersihkan) atau sesuatu (penghalang) yang ia singkirkan dari jalanan. Jika engkau belum mampu, dua rakaat solat Dhuha sudah memadai untuk mewakili kewajipanmu bersedekah. Selain itu, solat Dhuha juga adalah sedekah yang setanding dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, berdakwah dan mencegah kemungkaran.

 

3. Memperolehi ganjaran (ghanimah) yang besar daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berwudhu, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.” (Sahih al-Targhib: 666)

 

4. Disediakan sebuah rumah untuk dihuni olehnya di syurga kelak.

Hadis Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.” (Sahih al-Jami’: 634)

 

5. Mendapat rezeki yang melimpah ruah daripada Allah SWT.

Nu’aim bin Hammar berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

 

6. Mendapat ganjaran yang tidak disangka-sangka iaitu ganjaran pahala yang bersamaan dengan pahala umrah.

Daripada Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” (Sahih Al-Targhib: 673)

 

7. Allah SWT berkenan untuk mengampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.

Barangsiapa yang sembahyang dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

 

Solat Dhuha boleh dilakukan pada setiap hari. Sebaik-baiknya solat dhuha ini dikerjakan pada setiap hari. Solat dhuha ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat sehingga 12 rakaat sehari. Rasulullah SAW pernah mengerjakan sebanyak 8 rakaat sahaja. Banyak manfaat yang boleh kita perolehi sekiranya kita mengerjakan solat dhuha pada setiap hari.

 

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan