Cara berdakwah yang betul membantu para pendengar lebih tertarik dan dapat meninggalkan kesedaran yang lebih dalam terhadap seseorang itu.
Setiap kumpulan dakwah perlu mempunyai Murrabi/ah dan mad’u-mad’u di bawah jagaan mereka. Aktiviti yang wajib dilakukan adalah mutabaah di mana Murabbi perlu memantau mutabaah mad’u-mad’u mereka. Hal ini kerana dapat mendidik untuk beristiqamah dalam berdakwah.
Setiap umat Islam wajib berdakwah seperti mana dalam surah Al-Imran, Allah SWT telah memerintahkan orang yang beriman agar berdakwah dengan firman-Nya:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang makruf (baik), serta melarang daripada segala yang mungkar/salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya. (Surah Ali Imran: 104)
Namun begitu, dakwah mempunyai cara-caranya yang perlu dititik beratkan agar tidak tersalah laluan.
Pengertian Berdakwah Kepada Allah SWT
Dakwah bermaksud tuntutan dan seruan. Berdakwah kepada Allah SWT bermaksud menyeru manusia kepada Allah SWT dan menuntut (mengajak) mereka supaya beriman kepada Allah SWT dan mengikut syariat-Nya. Semua rasul merupakan para pendakwah menurut pengertian di atas.
Firman Allah SWT kepada nabi-Nya Muhammad SAW:
Wahai nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi. (Surah Al-Ahzab:45-46)
8 Cara Berdakwah Yang Betul
Berdakwah Secara Sopan
Setiap pendakwah perlu menyampaikan dakwahnya dengan sopan dan ramah mesra. Hal ini supaya menunjukkan bahawa Islam itu mudah dan lembut. Ia juga dapat melembutkan hati si pendengar dan mudah membawanya lebih dekat dan terbuka hatinya untuk mengikutinya. Allah berfirman dalam surah Al-Imran [3:159]:
Ertinya: “Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu.”
Ayat ini memberi maksud bahawa berlemah-lembut lah kepada setiap manusia sama ada ketika berdakwah atau menegur. Hal ini kerana untuk melembutkan hati-hati mereka dan mengelakkan diri daripada tidak mendengar teguran. Mereka bukan semakin tertarik tetapi semakin enggan untuk mendengar dakwah yang ingin sampaikan. Lebih-lebih lagi, jika berlagak pandai atau merasakan diri itu sudah cukup sempurna di mata Allah SWT.
Memperhatikan Peringkat Pendidikan
Cara berdakwah yang kedua ialah saat berdakwah kita juga wajib memperhatikan watak yang akan kita sampaikan dakwah seperti tahap pendidikan. Tahap pendidikan haruslah menjadi pertimbangan kita saat menyampaikan dakwah. Dalam hal ini, bukan bererti seorang pendakwah hendak membeza-bezakan tahap pendidikan setiap orang, namun pendakwah hanya mahu berusaha atau merancang bagaimana agar dakwah mereka boleh diterima dan dihargai oleh pendengar tersebut.
Menggunakan Perkataan Yang Baik
Pendakwah perlulah berdakwah dengan menggunakan perkataan dan gelaran yang baik. Kebiasaannya anta digunakan kata nama untuk lelaki manakala anti untuk kaum perempuan. Contoh perkaataan-perkataan yang baik ialah tidak menggunakan perkataan yang kesat dan sentiasa bertutur dalam bahasa yang mudah faham dan diterima.
Berdakwah Dengan Yakin
Cara berdakwah yang seterusnya ialah setiap topik yang ingin disampaikan dalam dakwah perlulah dihujahkan dengan yakin agar pendengar juga berasa yakin dengan penyampaian tersebut. Begitu juga dengan setiap persoalan yang diajukan mad’u atau sesiapa yang mendengar dakwah tersebut perlu dijawab tanpa ragu-ragu.
Yakin bererti seorang da’i percaya bahawa apa yang disampaikan merupakan sesuatu yang bersumber dari Al-Quran. Kemudian, setiap kebenaran yang disampaikan dapat dipakai untuk menegakkan kebenaran dan meruntuhkan kebatilan pada bila-bila masa.
Mempermudah dan Tidak Sulit
Islam itu semestinya indah dan mudah. Contohnya saat menunaikan solat, Allah telah memudahkan kita. Jika kita seorang musafir, kita dipermudah untuk menjamak solat. Zuhur dijamak dengan asar, maghrib dengan isya, subuh satu waktu. Jika, sesetengah mereka yang susah untuk berdiri, dilonggarkan solat sambil duduk, jika susah ketika duduk maka dibenarkan sambil berbaring.
Selain itu, jika tiada air, kita diperbolehkan untuk bertayamum dengan debu. Hal ini merupakan salah satu bentuk kemudahan yang Allah berikan kepada sesiapa yang mengalami kesusahan.
Berbantah Dengan Cara Baik
Jika berlaku salah fahaman atau sedang membahas topik yang perlu dibantah, perlulah dilakukan dengan cara yang baik.
Dalam berdakwah, yang harus diperhatikan pula adalah bagaimana caranya berbantah dengan cara yang baik misalnya ketika membahas masalah pernikahan seperti kriteria calon isteri yang baik menurut Islam, mahar dan tujuan perkahwinan serta ayat al quran tentang poligami dalam Islam. Apapun yang diperdebatkan, jika kita menggunakan cara yang tidak baik maka apapun yang kita sampaikan akan sulit untuk diterima. Seperti firman Allah dalam QS An-Nahl ayat 125 yang ertinya:
“Berserulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, pengajaran yang baik lalu berbantahlah dengan mereka menggunakan cara yang baik”
Pastikan Sumbernya Adalah Tepat & Tidak Mengikuti Ajaran Sesat
Seterusnya, ajaran-ajaran daripada pendakwah tersebut perlu berlandaskan agama Islam. Hal ini kerana terdapat beberapa kumpulan ajaran sesat yang semakin berleluasa memberi dakwah yang salah. Oleh itu, setiap pemberi dakwah perlu memeriksa atau mengambil dari sumber yang benar.
Perkara ini adalah yang paling penting perlu dititik beratkan kerana setiap yang kita sampaikan adalah tanggungjawab kita dan dosa orang itu jika menyampaikan sesuatu yang salah.
Menggunakan Perumpamaan Dalam Berdakwah
Di samping itu, perkara-perkara yang ingin disampaikan perlu diselit dengan beberapa perumpamaan seperi dari surah Al-Baqarah ayat 261 iaitu:
Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui. [1:261]
Bahkan bukan perumpamaan sahaja tetapi pendakwah itu juga perlu mengaitkan setiap topik yang disampaikan tersebut dengan apa sahaja objek di atas muka bumi ini. Selain itu, pantun atau peribahasa juga digalakkan supaya dapat menarik si pendengar.
Amalan Mutabaah Antara Kumpulan Halaqah
- Tilawah Al-Quran
- Berzikir
- Solat Dhuha
- Qiamullail
- Mathurat
Kepentingan Berdakwah
- Perkara wajib yang perlu dilakukan oleh khalifah
- Umat Islam akan lebih sedar
- Meneruskan perjuangan dakwah Rasulullah SAW
- Mendapat lebih banyak ilmu pengetahuan
- Pahala mengalir