Kepentingan Al-Mathurat

Kepentingan Al-Mathurat
Sumber: blogrojak.com

Tahukah anda kepentingan mengamalkan Al-Mathurat pagi dan petang yang perlu diketahui oleh umat Islam? Terdapat beberapa kelebihan yang kita dapat dengan mengamalkannya.

  • Mendapat Syafaat di Hari Akhirat Kelak

Jika kita mengamalkan setiap zikir dan doa yang terkandung di dalam Al-Mathurat sebagai rutin harian, maka kita akan dijamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Contohnya, Al-mathurat mengandungi bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW, iaitu Dari Ibn Mas’ud ra, Nabi SAW bersabda, maksudnya, “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (HR at-Tirmizi) 

Setiap umat Islam yang berselawat ke atas Rasulullah satu kali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali dan Allah akan menghapuskan sepuluh kesalahan serta meninggikan darjat mereka.

  • Membersihkan Hati

Al-Mathurat mengandungi bacaan doa dan zikir yang melengkapi kehidupan harian kita dari pagi sehingga waktu malam. Semakin banyak kita berzikir, semakin bertambah rasa syukur kita kepada Allah kerana diberi peluang untuk bernafas dan menjalankan ibadah-Nya serta semakin dekat diri kita kepada-Nya.

Sikap yang paling kuat membelenggu manusia ialah sikap malas. terdapat satu doa dan wirid di dalam Al-Mathurat iaitu: “Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah. Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung padaMu dari sikap pengecut dan bakhil serta dari cengkaman hutang dan penindasan orang”. Jika kita mengamalkannya sebagai rutin harian, diri kita akan dijauhi setiap perbuatan buruk. dengan izin Allah, setiap doa yang diminta oleh hamba-Nya, Allah akan memakbulkan doa-doa tersebut.

  • Mendapat Perlindungan Dari Allah SWT

Terkandung ucapan Taa’wuz iaitu ‘Aku bermohon perlindungan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang direjam’. dengan mengamalkan setiap pagi dan petang, dengan izin Allah kita akan dilindungi dari gangguan syaitan. Begitu juga dengan ayat Kursi bahawa Allah menjanjikan akan ada penjaga dari Allah untuk melindungi kita. Betapa mahalnya perlindungan dari Allah Yang Maha Melindungi yang amat diharapkan oleh setiap umat Islam kerana setiap apa yang akan berlaku hanya Allah yang tahu.

 

Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam sangat digalakkan mengamalkan al-Mathurat pagi dan petang seperti Rasulullah SAW yang turut mengajar sahabat-sahabatnya sepanjang hayat Rasulullah SAW yang menjamin kebaikan dunia dan akhirat.

 

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan