5 Kelebihan Surah Al-Insyirah Jika Mengamalkannya Setiap Hari

Surah Al-Insyirah mengandungi pelbagai kelebihan yang kita akan dapat jika mengamalkannya. Ia adalah antara surah-surah yang digalakkan untuk membacanya setiap hari.

Kelebihan Surah Al-Insyirah
Sumber: Min An (pexels.com)

Surah Al-Insyirah ialah surah yang ke-94 tergolong dalam surah Makiyyah dan terdiri daripada 8 ayat. Surah ini adalah bermaksud kelapangan. Setiap hari kita akan sibuk memikirkan tugas seharian dan adakalanya sehingga sesak dada dek kerana kesibukan dan tekanan ujian yang dilalui setiap hari. Hal ini juga akan meningkatkan tekanan dan depresi seseorang.

Namun, surah al-Insyirah dapat membantu melapangkan hati dan minda kita dari memikirkan kesibukan hal duniawi. Surah ini perlulah dibaca dengan memahami terjemahannya.

 

Makna Surah Al-Insyirah

 

Ayat 1

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?” (QS. Al-Insyirah 94: Ayat 1)

Dalam ayat ini dinyatakan bahawa Allah telah melapangkan dada Nabi Muhammad SAW dan menyelamatkannya dari ketidaktahuan tentang syariat. Allah telah membersihkan jiwa baginda dari segala perasaan cemas sehingga beliau langsung tidak berasa gelisah dan susah hati. Segala bentuk kerisauan seperti keras kepala kaumnya yang tidak mahu mengikuti kebenaran yang dibawanya juga hilang.

Ayat 2 & 3

“Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) -” (QS. Al-Insyirah 94: Ayat 2)

“Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?” (QS. Al-Insyirah 94: Ayat 3)

Kedua-dua ayat ini Allah mengungkapkan bahawa Dia ingin meringankan beban yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW dengan sangat berat dalam menyebarkan dakwahNya. Dengan berbuat demikian, Nabi Muhammad SAW akan lebih mudah menyampaikan risalahNya kepada manusia dengan jiwa yang tenteram serta tiada perasaan gelisah setiap langkah yang dibuat. Dadanya lapang seperti dilahirkan semula dan tidak dibelenggu dengan pelbagai masalah.

Ayat 4

“Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?” (QS. Al-Insyirah 94: Ayat 4)

Dalam ayat ini diterangkan bahawa Allah mengangkat darjat Nabi Muhammad, meninggikan kedudukan dan memperbesar pengaruhnya.

“Dan kami pun telah tinggikan sebutan namamu bagimu, kami sebut namamu secara berurutan dengan nama-Ku, seperti dalam syahadat, azan, tasyahud, dan sebagainya. Itu adalah kemulian tersendiri yang tidak kami berikan kepada nabi-nabi yang lain”.

Segala usaha Nabi Muhammad SAW sehingga terlahirnya Islam dan ramai dapat keluar dari pintu jahiliah adalah jasa baginda kepada seluruh umat Islam. Baginda layak menerima darjat yang paling tinggi. Sepanjang baginda menjalankan tugasannya sebagai Rasul banyak yang telah baginda lalui tetapi tidak pernah Rasulullah SAW gagal.

Ayat 5

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,” (QS. Al-Insyirah 94: Ayat 5)

Dalam ayat ini dinyatakan, Allah mengungkapkan bahawa sesungguhnya di dalam setiap kesempitan, terdapat kelapangan, dan di dalam setiap kekurangan sesuatu untuk mencapai keinginan, terdapat pula jalan keluar.

“Demikianlah nikmat-nikmat Ku kepadamu, maka tetaplah berharap pada pertolongan Tuhanmu kerana sesungguhnya beserta kesulitan apapun pasti ada kemudahan yang menyertainya. Engkau hadapi kesulitan besar dalam menyampaikan dakwah kepada kaummu; mereka ingkar dan menentangmu, tetapi Allah memberimu kemudahan untuk menaklukkan mereka.”

Ayat 6

“(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (QS. Al-Insyirah 94: Ayat 6)

Ayat ini sama seperti ayat kelima. Ayat ini diulang bagi menguatkan lagi ertinya . Apabila kesulitan itu dihadapi dengan tekad yang sungguh-sungguh dan berusaha dengan sekuat tenaga dan fikiran untuk melepaskan diri darinya, tekun dan sabar serta tidak mengeluh atas kelambatan datangnya kemudahan, pasti kemudahan itu akan tiba.

Ayat 7

“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),” (QS. Al-Insyirah 94: Ayat 7)

Sesudah menyatakan nikmat-nikmat-Nya kepada Nabi Muhammad dan janji-Nya akan menyelamatkan beliau dari bahaya-bahaya yang menimpa, Allah memerintahkan kepadanya agar mensyukuri nikmat-nikmat tersebut dengan tekun beramal soleh sambil bertawakal kepada-Nya.

Apabila telah selesai mengerjakan suatu amal perbuatan, maka hendaklah beliau mengerjakan amal perbuatan lainnya. Kerana, dalam keadaan terus beramal, beliau akan menemui ketenangan jiwa dan kelapangan hati.

Ayat 8

“Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).” (QS. Al-Insyirah 94: Ayat 8)

Dalam ayat ini, Allah menegaskan agar Nabi Muhammad tidak mengharapkan pahala dari hasil amal perbuatannya, akan tetapi hanya menuntut keredhaan Allah semata.

Kerana Dia lah sebenarnya yang dituju dalam amal ibadah dan pada-Nyalah tempat merendahkan diri.

 

Fadhilat Surah Al Insyirah Sewaktu Dalam Kesulitan

 

Dipermudahkan segala urusan

Mereka yang membacanya selepas solat fardhu akan dipermudahkan segala urusannya oleh Allah SWT. Contohnya, setiap manusia akan mengalami detik dimana kesusahan dari segi konflik keluarga atau pekerjaan, Allah akan membantu hamba-hambaNya kerana mereka berusaha mendekatkan diri kepada Allah dan memohon pertolongan dariNya.

Terhindar dari segala masalah dan sentiasa positif

Untuk pengetahuan anda, terlampau banyak perkara negatif yang dikemukakan netizen terutamanya di media sosial. Oleh itu, pengamalan surah Al-Insyirah akan menutup minda dari segala perkara negatif dan fikiran akan menjadi lebih terbuka. Masalah kesukaran dalam setiap urusan pasti dapat dihindari dengan pertolongan oleh Allah SWT.

Rajin dalam beribadah

Jika surah Al-Insyirah sentiasa diamalkan nescaya kerajinan dalam menunaikan ibadah akan meningkat. Sifat rasa jemu itu akan hilang dan dapat mengajar kita untuk beristiqamah. Di samping itu, mereka dapat menghindari sifat malas malah fikiran dan minda juga akan lebih lapang dan luas.

Diberi kekayaan dan terhindar dari kesempitan hidup

Tambahan pula, mereka yang mengamalkannya nescaya akan dikurniakan rezeki oleh Allah SWT dan terhindar dari kesempitan hidup. Hal ini kerana segala bentuk rezeki adalah milik Allah.

Selain itu, dikatakan bahawa surah Al-Insyirah perlu dibaca sebanyak 40 kali selepas solat untuk berjaya dunia dan akhirat. Contohnya, di dunia ni begitu ramai yang kesempitan wang dan dibuang kerja, dengan izin Allah jika kita berzikir, membaca surah-surah dan berusaha Allah akan menolong hambaNya.

Dikabulkan segala hajat

Seperti yang dinyatakan, setiap hajat hambaNya, Allah akan kabulkan dengan izinnya. Jika kita memiliki sesuatu hajat yang penting, solat sunat Hajat atau Tahajjud di tengah malam adalah salah satu caranya. Begitu juga, dengan membaca Surah Al-Insyirah sebanyak 103 kali mengikut kemampuan.

==============================================================================================

Sesiapa yang mengalami kesukaran dalam sesuatu pekerjaan, mulakan dengan solat seperti cara berikut:

  1. Lakukan solat sunat dua rakaat.
  2. Bacalah mana-mana surah selepas membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat.
  3. Duduk menghadap kiblat dengan tetap dan bersungguh-sungguh mengingati Allah.
  4. Bacalah baca Surah Al Insyirah sebanyak bilangan hurufnya.
  5. Memohon hajat dari Allah SWT.

Mereka yang membaca Surah Al Insyirah sebanyak 200 kali setiap hari ketika matahari naik (waktu dhuha), nescaya memperlihat oleh Allah SWT kepadanya perkara-perkara yang ajaib. Selain itu, sesiapa berhajat pada sesuatu perkara, bacalah Surah Al Insyirah 700 kali atau 1000 kali setiap hari selama ia mengusahakannya, nescaya beroleh apa-apa yang dihajati manakala sesiapa yang menulis Surah Al Insyirah pada suatu bekas dan menghapuskannya dengan air mawar kemudian diminum, nescaya hilang dukacitanya dan terpelihara daripada terkejut.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan