Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan seorang tokoh pejuang Islam yang berjaya menakluki Kota Konstantinopel dengan kebijaksaannya dalam menyusun strategi.
Strategi Perang Sultan Muhammad Al-Fateh
Strategi Sebelum Serangan
Membesarkan Angkatan Tentera
Sultan Muhammad Al-Fateh mengambil tindakan dengan membesarkan angkatan tenteranya sehingga mencapai 250 ribu tentera. Setiap anggota tentera tersebut diberikan latihan yang mantap sehingga menjadi hebat dan kuat.
Persiapan Kerohanian Tentera
Hubungan dengan Allah juga memantapkan lagi jiwa kerohanian beliau dengan seangkatan tenteranya. Para tentera menjadikan selawat kepada Rasulullah SAW sebagai rutin harian dan para ulama juga mentarbiah mereka.
Mendirikan Benteng
Sultan Muhammad Al-Fateh mendirikan Benteng Rumeli Hishar yang berketinggian 82 meter. Kewujudan dua benteng yang saling berhadapan ini sangat penting kerana berkemampuan untuk mengawal dan memantau kapal-kapal pihak musuh serta meriam-meriam untuk mencegah pencerobohan.
Menguatkan Angkatan Laut
Beliau juga menguatkan angkatan tentera laut. Beliau mengumpulkan pelbagai jenis kapal perang iaitu sebanyak lebih kurang 400 buah kapal.
Menjalinkan Perjanjian
Baginda mengadakan perjanjian dengan beberapa musuh dari negara Eropah iaitu bertujuan supaya tentera Uthmaniah fokus pada satu pihak musuh sahaja.
Membina Jalan
Baginda membangunkan jalan antara Edirne dan Konstantinopel untuk memudahkan penyusupan meriam yang mengambil masa dua bulan untuk memindahkan kesemuanya.
Strategi Semasa Serangan
Motivasi Jihad
Sultan Muhammad Al-Fateh memotivasi para tenteranya dengan ayat al-Quran, hadis berkaitan jihad dan menyampaikan khabar gembira tentang pembukaan kota Konstantinopel. Hal ini dapat menaikkan semangat tentera mereka dan meyakinkan mereka bahawa merekalah tentera yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW.
Membahagikan Pasukan Secara Sistematik
Baginda membahagikan tentera darat di depan tembok-tembokluar kota. Tentera dibahagikan kepada tiga untuk mengepung setiap penjuru. Baginda menyediakan tentera simpanan di belakang pasukan utama supaya dapat menggantikan pasukan utama.
Peranan Unit Risikan
Unit risikan Uthmaniah mengumpul maklumat keadaan dalam kota Konstantinopel dan setiap gerakan musuh diperhatikan.
Strategi Saat Kekurangan Tentera
Pemindahan Kapal Melalui Jalan darat
Sultan Muhammad Al-Fateh dengan seangkatan tenteranya memindahkan kapal-kapal perang dengan menyeret kapal tersebut di atas tanah yang diratakan serta papan-papan kayu dilumuri minyak dan lemak agar licin. Hal ini dijalankan hanya satu malam dan 70 buah kapal berjaya dipindahkan ke Tanduk Emas melalui jalan darat yang terletak antara dua pelabuhan berjarak tiga batu .
Menggali Terowong
Seangkatan tentera baginda diarahkan menggali terowong di bawah tanah dari tempat-tempat berbeza untuk menyusup ke dalam kota. Mereka sanggup berkorban dengan kekurangan oksigen, jatuh ke tawanan tentera Rom dan terbakar dalam tanah.
Serangan Mengejut
Baginda membuat benteng dari kayu dengan ukuran besar, menjulang tinggi dan dapat digerakkan. Benteng itu terdiri daripada tiga tingkat melebihi tembok kota Konstantinopel, dilapisi perisai-perisai dan kulit yang dibasahi air untuk menahan api. Terdapat tentera di setiap tingkat bersama pemanah-pemanah di tingkat atas.
Namun, tentera turki menyerang benteng itu dan dibakar oleh tentera Rom. Mereka diserang dengan meriam tentera Turki dan dikepung dari terowong, benteng kayu dan meriam. Serangan besar dijalankan oleh baginda dengan laungan takbir dari darat dan laut selama 52 hari dan berjaya meraih kemenangan.
Berbuat Baik Kepada Penganut Kristian
Baginda menitahkan penduduk Kristian kota Konstantinopel balik ke rumah dengan aman dan menjamin kebebasan beragama kepada mereka. Penduduk Kristian mendapat manfaat dan keamanan lebih baik di era Uthmaniah. Dakwah juga turut dijalankan.
Pengajaran
Bijak Menyusun Strategi
Sepanjang hayat beliau dalam menakluki Konstantinople, pelabagi strategi yang telah dipikirkannya. Beliau sangat cekap dan bijak dalam menyusun strategi sehinggakan beliau dan tentera-tenteranya berjaya menawan Kota Konstantinople.
Sebagai anak muda, membuat perancangan yang baik dan sistematik penting demi keharmonian kehidupan seharian dan mental supaya tidak melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Pembahagian masa antara jadual kelas yang padat dan ibadah-ibadah yang baik dapat mengelakkan tekanan yang tinggi pelajar dan kehidupan seharian yang tersusun.
Mempelajari Pelbagai Ilmu
Sultan Muhammad Al-Fateh mempunyai sikap cintakan ilmu. Beliau akan berdamping dengan para ulama demi mendapatkan ilmu. Sejak awal, Muhammad Al-Fateh selalu dikelilingi oleh ulama-ulama terbaik pada zamannya dan mempelajari pelbagai ilmu yang berkaitan dengan al-Quran, thaqafah Islam dan juga ilmu fiqh.
Begitu juga seperti bahasa, astronomi, matematik, kimia, fizik, dan ilmu perang. Ilmu perlulah dicari dan dipelajari dari kecil sehingga dewasa kerana ilmu itu luas. Semakin tinggi azam dalam mencari ilmu, semakin banyak ilmu yang kita tidak ketahui. Sebagai generasi muda kini, kita perlulah sentiasa mencari ilmu dan guru untuk mendapatkan ilmu tersebut terutamanya ilmu agama.
Berani Dan Tidak Berputus Asa
Sultan Muhammad Al-Fateh ialah seorang yang berani. Tidak hairanlah beliau dijawatkan jawatan sebagai sultan dan khalifah di usia yang muda. Beliau juga tidak pernah berputus asa untuk menakluki Kota Konstantinopel dengan terus mencuba dengan pelbagai strategi beliau sehingga berkurang tenteranya.
Namun begitu, hasil kejayaan beliau dalam menakluki kota tersebut telah menaikkan semangat umat Islam dan kebahagiaan rakyat-rakyat beliau. Sebagai pemuda kini, kita tidak boleh berputus asa tanpa berusaha. Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah SWT pasti ada hikmahnya dan Allah SWT tidak akan memberikan sesuatu ujian itu kepada hamba-Nya melainkan sesuai dengan kemampuannya. oleh itu, janganlah kita berputus asa dan sentiasa berusaha dalam apa jua demi kejayaan dunia dan akhirat.
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah al Baqarah 2:286)
Tidak Lalai Dalam Beribadah
Walaupun beliau sibuk dengan pemerintahan, urusan pimpinan dan ketenteraan, Sultan Muhammad Al-Fateh tidak pernah lalai dan meninggalkan ibadahnya kepada Allah SWT. Sebagai umat Islam, kita perlulah meningkatkan amal ibadah kita kepada Allah dan sentiasa berdoa atas kesejahteraan sesama umat Islam.
Walaupun kita sibuk dengan urusan duniawi, kita perlu bijak dalam membahagi masa dengan baik dan mencari masa untuk beribadah terutamanya ibadah-ibadah yang wajib dilakukan.