JUMAAT adalah hari yang sangat istimewa bagi umat Islam. Ia adalah hari untuk melipat gandakan ibadah kepada Allah. Umat Islam bukan saja melakukan ibadat harian wajib seperti solat fardu, bahkan Nabi Muhammad saw menganjurkan beberapa ibadat sunat yang dapat menambahkan ketakwaan kepada Allah.
Antara ibadah itu adalah:
1. Membaca surah as-Sajdah
Pada sembahyang Subuh yang diiringi pula sujud tilawah ke hadrat Allah. Tiada ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang melakukan ibadat ini melainkan syurga Allah. Hal ini seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila anak cucu Nabi Adam membaca surah as-Sajdah kemudian mereka sujud kepada Allah, syaitan mengasingkan dirinya dari majlis itu dalam keadaan menangis sambil berkata: “Celakalah aku, anak cucu Nabi Adam diperintah untuk sujud kepada Allah, lantas mereka sujud kepada Allah. Maka, bagi mereka itu balasannya syurga, sedangkan aku juga disuruh untuk sujud kepada Allah, tetapi aku ingkar. Oleh itu, untukku api neraka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
2.Membaca Surah Al-Kahfi
Ganjaran bagi orang yang membacanya adalah mendapat petunjuk dan pimpinan daripada Allah sepanjang minggu itu. Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada Jumaat, nescaya Allah akan menyinari dirinya dengan cahaya antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat Baihaqi).
3.Berselawat Kepada Nabi Muhammad SAW
Memperbanyakkan berselawat kepada Nabi SAW adalah digalakkan pada setiap masa. Namun, pada hari Jumaat lebih diutamakan kerana lebih banyak kelebihan dan berganda pahalanya. Selawat ini adalah sebagai simbol bagi menzahirkan kecintaan dan ingatan kita kepada Nabi SAW.
Orang yang kita cintai biasanya akan selalu terbayang di minda dan sering terucap di bibir. Maka sepatutnya kecintaan sebegitu adalah layak untuk Rasulullah SAW atau mungkinkah kita langsung tidak ingat kepada Baginda. Berkata ulama;
“Kalau dikumpulkan kasih seluruh umat kepada Rasulullah, masih belum dapat menandingi kasih Rasullullah kepada umatnya”
Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikat telah berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (Nabi)”
Surah Al-Ahzab: 56
4. Solat Jumaat
Umat Islam digalakkan mengisi malam Jumaat dengan memperbanyakkan ibadat dan pada siangnya, bersegera ke masjid seawal waktu yang mungkin untuk merebut ganjaran pahala yang besar. Mereka yang mendengar khutbah Jumaat dengan khusyuk dan bersedekah kepada orang miskin pada Jumaat, itulah orang yang mendapat ganjaran besar daripada Allah. Keistimewaan itu bertambah menyerlah apabila Allah mensyariatkan sembahyang Jumaat yang wajib dilaksanakan secara berjemaah.
5.Membersihkan Diri
Mandi, bersugi, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian yang terbaik adalah sangat digalakkan bahkan mendapat pahala sebelum datang ke masjid.
“Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan ke atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang.”
Riwayat al-Bukhari
Antara kepentingannya adalah:
- Mengukuhkan ikatan kasih sayang antara sesama Islam, yang mana ia adalah unsur terpenting bagi menjamin kekuatan umat Islam.
- Memberi ilmu, tunjuk ajar serta nasihat kepada umat Islam melalui khutbah. Ia adalah peluang terbaik untuk memperbaiki kualiti diri.
Pentingnya sembahyang Jumaat, Nabi memberi amaran keras kepada mereka yang tidak hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Rasulullah bersabda bermaksud : “Barang siapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.”
Sembahyang Jumaat ini terlalu penting. Oleh itu, bagi memastikan umat Islam berada di atas landasan yang membawa kecemerlangan dan kejayaan, Baginda meletakkan garis panduan kepada mereka yang menghadirinya. Perkara itu , bagi memastikan ibadat Jumaat itu benar-benar dapat mendidik jiwa orang yang menghadirinya. Segera ke masjid dengan penuh ketenangan. Mendapatkan saf yang paling depan, berzikir, membaca al-Quran serta berpeluang mendengar khutbah dengan jelas.
Baginda bersabda bermaksud: “Barang siapa yang mandi pada Jumaat, kemudian pergi ke masjid pada awal waktu, maka seolah-olah dia berkorban seekor unta.” (Hadis riwayat Bukhari)
Mudah-mudahan Allah menerima ibadat kita dengan hendak-Nya walaupun hakikatnya masih banyaknya kurang dan silap kita.