Adab Menyambut Kelahiran Dalam Islam

kelahiran

Agama Islam merupakan garis panduan hidup yang sempurna untuk dijadikan pedoman kepada penganutnya. Setiap orang muslim disuruh mengamalkan ajaran agama Islam bukan sahaja dalam ibadat malah dalam setiap perkara yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Begitu jugalah dengan adab -adab menyambut kelahiran seharusnya menjadi amalan kepada ibu bapa yang di anugerahkan  zuriat.

Justeru, kelahiran bayi adalah sesuatu yang perlu disambut dengan adab Islam sebagai permulaan terhadap proses pembentukan mereka menjadi insan yang berguna. Disini terdapat beberapa panduan yang patut dilakukan oleh ibu bapa sebaik sahaja anak yang dikandung selamat dilahirkan :

1. Penyambut Bayi

Orang yang terbaik untuk menyambut bayi ialah bidan atau doktor Muslimah. Sekiranya tiada, maka keutamaannya boleh diserahkan kepada perempuan non-Muslim, seterusnya kepada Muslim, dan akhir sekali kepada lelaki non-Muslim. Ini semua adalah merujuk kepada fiqh aurat wanita di dalam Islam.

2. Persekitaran Tempat Bersalin

Bilik bersalin adalah tempat si ibu berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan anak. Maka pastikan tempat tersebut bersih. Selain itu, galakkan atau menyuruh si bapa untuk berada sekali semasa persalinan sebagai sokongan moral. Si bapa bolehlah memainkan peranan mengurangkan kesakitan si ibu, dan juga membaca doa atau membaca bacaan al-Quran. Biar si ibu sentiasa teringat Allah, dan biarlah si bayi mendengar kalam Allah sebagai kalimah pertama ketika mula mengunjungi alam dunia ini.

3.Sujud Syukur

Ini merupakan tanda kita bersyukur kepada Allah swt di atas kurniaan cahaya mata. Suami disunatkan melakukan sujud syukur sebaik sahaja anak telah keluar daripada rahim ibu.

4. Azan & Iqamat

Sejurus selepas kelahiran anak, si bapak atau walinya hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan diiqamahkan di telinga kiri dengan tujuan supaya dijauhi anaknya dari gangguan syaitan dan supaya si anak mendengar ucapan yang membesarkan Allah, syahadah, serta seruan ke arah solat dan kejayaan sebagai ayat-ayat pertama didengar di muka bumi ini.

5. Menghebahkan Dan Ucapan Tahniah Tanda Gembira

Sunnat bagi seseorang Muslim segera untuk menggembirakan saudara Muslimnya yang lain apabila dia mendapat seorang anak. Caranya ialah dengan mengucapkan tahniah dan menimbulkan perasaan gembira di dalam hatinya. Dalam a-Quran, ketika Allah mengkhabarkan cerita mengenai kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan menggembirakan atau memberitakan berita gembira [rujuk Ali Imran:39 dan Maryam:7]

Abu Lahab adalah antara orang yang amat gembira, bahkan memerdekakan hambanya Thuwaibah yang telah memberitakan khabar kelahiran nabi Muhammad SAW. Diriwayatkan dari Imam Bukhari bahawa Abu Lahab setiap hari Isnin diringankan seksanya dengan sebab memerdekakan budak Thuwaibah sebagai ungkapan kegembiraannya atas kelahiran Rasulullah SAW.

6. Tahnik Anak

Sunat Tahnik atau belah mulut yang dilakukan selepas anak dilahirkan. Tahnik ialah mengunyah buah kurma (selalunya dilakukan oleh orang yang dianggap soleh dan bertaqwa kepada Allah seperti Imam, Bilal, Ulama, Syeikh dan sebagainya). Caranya ialah dengan mengunyah tamar atau melumatkan tamar dengan jari, lalu diletakkan tamar yang sudah lumat itu ke hujung jari, dimasukkan perlahan-lahan ke mulut anak dan diratai tamar tadi ke seluruh bahagian lelangit bayi. Ketika ketiadaan tamar, bolehlah digantikan dengan apa jua makanan lembut yang manis.

Hikmahnya ialah untuk untuk menguatkan gusi dan membuatkan bayi mahu menghisap sus apabila ibu menyusukan bayi tersebut kerana sentuhan di lidah mempunyai kesan manis dan bukan kesan yang tidak menyelesakan.

7. Mencukur Rambut Bayi

Sunat dicukurkan rambut bayi secara licin pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian ditimbang rambut tersebut dan disedekahkan nilai beratnya berbanding perak kepada faqir miskin.

Antara hikmah bercukur rambut adalah :

  • Hikmah kesihatan – dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir akan terbuka semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran.
  • Hikmah kemasyarakatan – dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.s. ia berkata:
    Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya mencukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak”. Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika menggunting rambut anak ialah larangan qaza’. Qaza’ bermaksud mencukur atau memendekkan sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain panjang.

8. Memberikan Nama Yang Baik

Sunat menamakan anak yang baru dilahirkan dengan dengan nama-nama yang baik. Dan sunat menamakan anak dilakukan pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran. Jika ibu bapa tidak mahir soal ini, cuba tanya orang yang lebih arif mengenai nama dan sebutan tersebut.

9. Doa

Digalakkan membaca surah ayatul kursi, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Disertakan juga doa khusus untuk bayi yang baru lahir iaitu :

Maksudnya : “Aku mohon perlindungan untuk anakku dengan kalimah-kalimah Allah s.w.t yang sempurna dari segala gangguan syaitan dan dari segala binatang serta dari segala sorotan mata yang dapat membawa akibat buruk kepada apa yang dilihatnya”.

10. Aqiqah

Aqiqah sunat dilakukan pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi. Ia bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti kambing, lembu, dan unta. Lazimnya 2 ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan. Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya aqiqah ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika usia dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.

Aqiqah dilakukan bagi memanjatkan rasa syukur terhadap ilahi . Daging sembelihan hendaklah di sedekahkan kepada orang sekeliling supaya mereka tahu tentang kelahiran cahaya mata kita.

Makruh mematahkan tulang aqiqah. Penyembelih dan pembantu digalakkan memotong haiwan aqiqah pada sendinya sahaja. Sunatnya ialah untuk menzahirkan kesungguhan melalui kesempurnaan anggota haiwan aqiqah ketika agihan, dan semoga anak itu mendapat barakah sihat dan sempurna tubuh badan.

Wallahua’lam.

SEMOGA BERMANFAAT..

 

 

 

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan