Adab Menziarahi Kubur

Adab Menziarahi Kubur

Pada permulaan Islam, Rasulullah telah melarang umatnya menziarahi kubur. Hal ini kerana mereka yang menziarahi kubur pada ketika itu melakukan perkara yang dilarang seperti duduk di atas kubur, menangis, merintih-rintih dan sebagainya. Setelah mereka sedar apa adab menziarahi kubur, maka Rasulullah saw menggalakkan umatnya menziarahi kubur untuk melembutkan hati, mengingatkan tentang azab kubur dan hari pembalasan di Padang Mahsyar supaya umatnya sentiasa bersederhana dalam kehidupan.

Menziarahi kubur adalah antara tanggungjawab sebagai seorang muslim. Ini kerana perbuatan menziarahi kubur mampu memberikan manfaat kepada si mati dan juga individu yang masih hidup. Justeru itu setiap muslim perlu tahu adab menziarah kubur yang betul.

Mengunjungi tanah perkuburan adalah satu kemestian tidak kira kepada lelaki dan wanita. Ada yang menyuarakan bahawa wanita tidak dibenarkan menziarahi kubur kerana naluri mereka cukup halus dan mudah tersentuh, namun ia tidak berdosa kerana hukum wanita menziarahi kubur adalah harus dan pastikan pemakaian mereka sopan. Di samping itu jika sesiapa menziarahi makam Rasulullah SAW dan pusara ibu bapa, mereka akan dikurniakan ganjaran pahala yang besar.

ZIARAH KUBUR RASULULLAH SAW
Umat Islam umumnya (lelaki dan perempuan), sunat menziarahi kubur Rasulullah s.a.w di Madinah al Munawwarah kerana pahala dan kebaikannya amatlah besar.
ZIARAH KUBUR IBU BAPA
Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakkad dan besar pahalanya. Makin bertambah pahalanya seperti diterangkan dalam hadith-hadith nabi s.a.w. Makin bertambah pahalanya, jika kubur ibu bapa diziarahi pada tiap-tiap hari jumaat dan dibacakan surah Yaasin disisinya. Kelebihan mengenang ibu bapa dengan doa dan dengan menziarahi kuburnya membawa kebaikan bukan sahaja kepada anak-anaknya yang soleh tetapi juga kepada anak derhaka. Seperti dalam sebuah hadith diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua ibu bapanya kemudian dia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk mereka, nescaya ia diampuni Allah dan dikira sebagai anak yang taat.

 

Adab ketika di kubur

  • Memberi salam kepada ahli kubur
  • Memakai pakaian menutup aurat
  • Jangan melangkah kubur dengan sengaja
  • Tidak dibenarkan untuk berseronok di kawasan kubur.
  • Membaca ayat suci al-Quran dengan niat pahala bacaan itu sampai kepada si mati
  • Membukan kasut sebagai tanda penghormatan jika tidak membahayakan
  • Membaca doa dan disedekahkan kepada si mati

Larangan berkaitan dengan kubur

  • Membuat Bangunan Di Atas Kubur
  • Menjadikan Kubur Sebagai Tempat Solat
  •  Menyembelih Binatang Di atas Kubur
  • Menabur bunga rampai. Seeloknya ditanam pokok bunga di atas pusara kerana tumbuhan ini akan mendoakan si mati
  • Bergelak ketawa dan bergurau senda sesama sendiri

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan