Adab Menziarahi Orang Sakit

Sakit kita di dunia ini adalah satu ujian daripada pencipta kita iaitu Allah SWT. Selagi kita hidup di muka bumi ini, kita tidak akan terlepas dari ujian Allah SWT.

Sekiranya berkelapangan pergilah melawat saudara mara atau sahabat kita yang sakit, Rasulullah SAW bersabda; “Tiada seorang pun yang menziarahi saudara seislamnya yang sakit pada waktu pagi melainkan 70 000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat hingga ke waktu petang. Sekiranya dia menziarahi saudara seislamnya pada waktu petang, maka 70 000 malaikat akan mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah hingga ke waktu pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah buahan syurga yang boleh dipetik bila bila masa” (Riwayat Al-Tarmizi)

 

Adab-adab yang boleh diamalkan ketika menziarahi orang sakit ialah:

 

1. Betulkan niat kita

Niat untuk melawat orang sakit kerana AllAH SWT. Dan juga untuk mencontohi sikap Rasulullah SAW. Setiap apa yang kita lakukan harus dimulakan dengan niat kerana Allah SWT.

 

2. Maniskan wajah kita

Jangan kedekut untuk senyum ketika melawat orang sakit. Mungkin dengan hanya melihat senyuman kita yang datang melawat, mampu untuk membuatkan mereka tersenyum sama dan juga lebih bersemangat.

 

3. Berbual dengan mereka

Cubalah untuk mengajak mereka berbual ataupun cubalah bertanya khabar mereka. Jangan hanya kita sahaja yang bercerita, mereka hanya menjadi pendengar.

 

4. Jaga aurat dan batas pergaulan

Bagaimana pula dengan aurat dan batas pergaulan kita ketika melawat pesakit? Bagi yang bukan mahram, jagalah aurat dan batas pergaulan kita. Menziarahi orang sakit adalah perkara yang baik, harus hukumnya bagi perempuan melawat orang lelaki yang sakit tetapi haruslah dia menutup auratnya dan jangan menimbulkan perkara-perkara yang tidak baik.

 

5. Doakan pesakit

Luangkan sedikit masa melawat kita dengan mendoakan mereka. Itu lebih baik daripada kita hanya berbual kosong. Sebaiknya berdoalah ketika berada di samping mereka, supaya mereka tahu apa yang kita doakan dan mereka juga boleh mengaminkan doa tersebut.

 

Banyak adab yang boleh kita amalkan ketika kita hendak menziarahi pesakit. Sedikit sebanyak kita juga memperoleh manfaat daripada apa yang kita lakukan.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan