“Teguran Bukan Tanda Menghina” 4 Perkara yang Perlu Dititik Beratkan Ketika Menegur Untuk Mengelakkan Kesalahfahaman

Teguran dan nasihat adalah tanggungjawab sesama umat Islam untuk mencegah kemungkaran dan sama-sama ke arah kebaikan.

Setiap kali menemui kemungkaran wajib ke atas umat Islam tersebut menegur dan mengajak ke arah kebaikan bersama-sama namun cara dan adab perlulah betul tanpa perlu menghina.

 

Cara Teguran Dalam Islam
Sumber: tribuneindia.com

Adab Dan Cara Menegur yang Betul

Surah An-Nahl ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu Wahai Nabi Muhammad dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik”

Memberi Kesedaran

Setiap teguran perlulah terselit kesedaran kepada orang yang ditegur. Begitu juga kepada penegur agar sesama mengingati kesalahan yang dilakukan dan menjadi insan yang lebih baik. Namun, teguran dari sesetengah orang adalah salah seperti menyelitkan unsur-unsur cacian dan kata-kata yang kurang sopan. Hal ini membuatkan mereka lebih marah jika ditegur dan susah untuk disemati dalam jiwa.

Memberi Nasihat

Nasihat adalah permulaan dalam menegur. Kita perlulah menasihati mereka bahawa sesuatu itu adalah salah untuk dilakukan dan akan membawa keburukkan. Mungkin sahaja pelaku tersebut tidak tahu perkara tersebut salah disisi Islam, maka kita sebagai sesama umat perlu menasihati cara yang baik kepada mereka seperti Rasulullah SAW menasihati penzina pada ketika dahulu.

Peringatan Secara Keras

Hal ini hanya dibolehkan jika tegur secara lisan tidak diendahkan. Maka, kita perlu menasihati mereka secara tegas. Ini bermakna teguran dan nasihat secara halus tidak berkesan terhadap mereka.

Menegur Dengan Tangan/Kekuatan

Langkah ini hanya dilakukan jika langkah-langkah di atas tidak diendahkan. Penting untuk kita tahu langkah ini hanya mengikut keperluan dan tidak berlebihan serta si penegur juga ialah seorang yang tidak melakukan perkara yang sama.

Doa Untuk Mereka

Jika kesemua tindakan tidak menjadi kepada si pelaku, maka kita hanya mampu berdoa demi kebaikan mereka dan berserah kepada Allah SWT kerana hanya Allah sahaja yang mampu membuka pintu hidayah mereka. Sesungguhnya hanya Allah s.w.t yang boleh merubah seseorang itu dan sesungguhnya Allah s.w.t itu Maha Pengampun.

Cara-cara Mencegah Kemungkaran

Hadis dari Abi Said Al-Khudri yang bermaksud : “Rasulullah SAW telah bersabda : Barang siapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Maka sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Oleh Muslim).

Mencegah Dengan Tangan

Cara ini adalah dengan kuasa yang ada pada seseorang itu mengikut kemampuan dan bidang kuasa seperti bapa menasihati anaknya. Jika bapa tersebut melihat anaknya meninggalkan solat, dia perlulah mengajak anaknya untuk solat berjemaah.

Mencegah Dengan Lidah

Jika dia tidak dapat mencegah dengan tangan maka dia perlu cegah dengan percakapan seperti memberi nasihat dan menegur mereka ke arah yang lebih baik dan sama-sama dapat membezakan perkara baik mahupun buruk.

Mencegah Dengan Hati

Mencegah dengan hati adalah dengan membenci kemungkaran, menjauhi tempat tersebut dan berazam tidak akan melakukan perkara tersebut. Namun, orang yang mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman dan perlu berharap dapat mencegah dengan tangan dan lidah. Contohnya, membenci perbuatan mengumpat dan terus beredar dari tempat tersebut.

Kesimpulan

Amalkanlah nasihat-menasihati agar dapat mencegah kemungkaran sesama umat Islam. Semakin maju perkembangan negara, semakin ramai golongan-golongan muda yang lalai tenggelam dalam keasyikan dunia yang menyebabkan mereka jauh dari agama.

Apabila ditegur malah semakin ditolak dan merasakan kesalahan yang dibuat adalah hak dia dan tiada sesiapa boleh campur tangan dalam hal mereka. Sedangkan, setiap manusia perlu menegur jika terlihat kemungkaran di hadapan mata.

Begitu juga dengan si penegur mestilah menjaga tutur kata dan bijak dalam menegur. Berdoalah agar kita semua dalam rahmat Allah dan dijauhi bala Allah SWT. Semoga kita hidup dalam bersatu-padu dan harmoni.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan