Fadhilat Dan Hikmah Korban

Korban

Korban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya iaitu haiwan ternakan. Haiwan ini dikategorikan sebagai Al-An’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing pada Hari Raya Haji (10 Zulhijjah). Dan pada hari-hari Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijjah). Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Korban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahin AS kepada anaknya Nabi Ismail AS bagi memenuhi perintah Allah SWT. Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban.

Untuk itu, ini adalah antara hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan berkorban :

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya. Dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat al-Tirmizi (1493)][Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib]

 

Antara hikmah korban adalah:
  1. Memperingatkan kita peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allha Ta’ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
  2. Dapat melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.
  3. Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.
Antara fadhilat ibadah ini adalah:
  • Menambah amal kebajikan – Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan”.(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
  • Keampunan – Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah: Maksudnya:”Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu”.(al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
  • Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah – Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.”

Ibadah korban merupakan satu ibadah yang agung dan ganjaran yang disediakan amat besar bagi orang-orang yang melaksanakan ibadah ini. Ini kerana, ibadah korban merupakan sunat muakkad iaitu yang amat digalakkan untuk dilakukan bagi orang yang menepati syarat-syarat berkorban.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan perkara-perkara ketaatan kepada Allah SWT dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapatkan syurga Firdaus yang paling tinggi di akhirat kelak. Amin.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan