Ingat 5 Perkara Sebelum 5 Perkara

Dunia hanyalah tempat singgahan manusia di mana sesiapa yang lalai dalam kesenagan dunia itu hanyalah main-main sahaja. Namun, kesenagan yang sepatutnya dicapai adalah kesenangan di akhirat kelak di mana ia takkan terputus, tiada pengakhiran. Setiap manusia boleh membuat apa-apa sahaja hajat yang dia mahukan. Di akhirat kita tiada rasa sakit, kaya atau miskin, sentiasa lapang dan tidak perlu risau bila tiba ajalnya serta tidak akan pernah tua.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia, hiburan melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” [Surah al-An’am, ayat 32]

Untuk mendapat kesenagan di akhirat dan mendapat tempat di syurga Allah SWT, janganlah kita sia-siakan hidup kita di dunia. Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara ini terjadi. Amalan yang dibuat di dunia tidak dapat dihitung, maka jika kita siakan 5 perkara ini berapa titik sahaja ibadah yang kita dapat buat di dunia ini. Mengapa dikatakan sedemikian dan apakah 5 perkara tersebut? Teruskan membaca artikel ini untuk pengetahuan lebih lanjut.

Diriwayatkan oleh sahabat Abdullah Ibnu Abbas RA bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda :

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَفِرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

 

Sihat Sebelum Sakit

Memanfaatkan waktu saat diberi nikmat sihat untuk memperbanyak amal ibadah dan kebaikan sebelum datang waktu sakit. Sehingga kelak tidak menyesal saat hari kebangkitan (kiamat) dengan membawa bekal amal yang cukup.

 

Muda Sebelum Tua

Lebih baik membuat banyak amalan ketika masih muda daripada tua kerana semakin meningkat usia, semakin kurang tenaga untuk bekerja. Jika diteliti, ramai di kalangan orang tua yang memenuhi masjid berbanding dengan dolongan-golongan muda dan ramai yang mempunyai “mindset” bahawa mereka tunggu ketika tua baru nak buat banyak amalan padahal jika kita meningkat usia, semakin banyak terdedah kepada penyakit berbahaya serta kita tidak pasti ajal kita waktu tua atau muda. Maka, jangan lengah-lengahkan waktu usia muda kita. Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan, jagalah waktu dengan bijak. Lebih banyak perkara yang kita boleh buat ketika muda dan rajin-rajinkanlah pergi ke masjid.

 

Kaya Sebelum Miskin

Semasa kita kaya banyakan bersedekah dan bersyukur atas nikmat yang kita ada. Jangan sombong dengan setiap nikmat Allah. Jangan kita takbur dan merendahkan yang miskin. Selain itu, dengan duit yang kita ada wajib untuk melakukan haji dan umrah supaya kita tidak fakir di dunia dan di akhirat.

Allah SWT menjelaskan bahawa Islam nikmat paling besar bagi kehidupan manusia. Hanya dengan agama Islam sahaja membuktikan seseorang itu dicukupkan dengan pelbagai nikmat yang lain. Firman Allah bermaksud: “Pada hari ini, Aku (Allah) sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama kamu.” [Surah al-Ma’idah, ayat 3]

 

Lapang Sebelum Sempit

Oleh itu, nasihat agar memanfaatkan nikmat kesihatan dan masa lapang perlu diberikan lebih-lebih lagi pada awal tahun seperti sekarang ini. Banyak perkara yang baik boleh dilakukan sekiranya manusia berada dalam keadaan sihat dan mempunyai masa lapang. Orang sakit hanya mempunyai peluang yang terbatas untuk melakukan kebaikan. Begitu juga dengan orang yang kehidupannya disibukkan dengan pelbagai perkara termasuk hal yang tidak penting. Keadaan sibuk membuatkan masa untuk melakukan kebaikan juga terbatas. Selain itu, mempelajari banyak ilmu agama waktu masa lapang juga adalah yang terbaik dan bukan membuat perkara yang tidak berfaedah.

 

Hidup Sebelum Mati

Kehidupan kita ini terlalu singkat kerana dunia ini hanya sementara dan tiada yang hakiki. Sebaiknya, manfaatkan kehidupan dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT dan sedaya upaya untuk memperbaiki diri kearah kebaikan. Mati tidak pernah mengenal usia. Tua dan muda jika sudah sampai masanya maka tinggallah dunia ini.

Tanggungjawab kita yang utama sepanjang hidup di muka bumi ini adalah melakukan ibadah kepada Allah demi bekal akhirat nanti. Kita tidak pasti bila ajal kita akan tiba, mungkin muda mungkin tua kelak. Yang pasti bahawa kita akan kembali kepada Allah. Maka, jangan sia-siakan hidup anda di dunia ini dengan tidak melepaskan sekalipun peluang untuk beribadah.

 

Kesimpulan

Dunia ini sudah semakin tenat. Pelbagai negara telah mengalami kemarau, pembakaran hutan yang luas sehingga asap menyelubungi seluruh langit serta kekurangan keperluan hidup. Penyakit virus yang dahsyat yang merebak ke seluruh dunia iaitu Coronavirus atau Covid19 telah meragut banyak nyawa. Oleh itu, kita perlulah membuat persiapan diri sebelum tiba ajal kita atau berlaku fenomena yang tidak terkawal dan sentiasa rasa syukur terhadap setiap nikmat yang diberi Ilahi. Jika itu berlaku, kita tidak boleh mengundur masa dan menyesal atas apa yang berlaku. Janganlah kita cinta pada dunia, harta dan manusia lebih dari Allah.

 

Setiap manusia adalah pendosa tetapi yang membezakan iman seseorang ialah jiwa mereka yang ingin kembali ke jalan sebenar, menyesal atas perbuatan tersebut dan berazam tidak akan melakukannya lagi. Jika, kita masih ada rasa insaf dan mahu taubat, percayalah Allah akan membantu hambaNya dan itu bermakna pintu hidayahnya terbuka semula. Lebih baik menyesal sekarang daripada menyesal kemudian. Jika, susah itu meninggalkan sesuatu perbuatan tersebut, lebih baik cari hobi baru yang boleh menjauhi kita dari maksiat. Kita tidak boleh merasa bangga dengan maksiat yang dibuat. Maka, cepat-cepatlah perbaharui niat dan hadapi ujian tersebut dengan baik.

Allah SWT berfirman dalam Surat Al Ashr: وَالْعَصْرِۙ اِنَّ الْاِنْسَانَ لَفِيْ خُسْرٍۙ اِلَّا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ ەۙ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (QS. Al Ashr:1-3)

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan