Kelebihan-kelebihan Sepanjang Bulan Ramadan

kelebihan ramadan kareem
Sumber: freepik.com

Bulan Ramadan adalah bulan umat Islam berpuasa yang hanya berlaku setahun sekali. Sepanjang bulan Ramadan dapat mengajar kita menahan lapar dan dahaga serta mengawal nafsu dari melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahri.

Rasulullah SAW, bersabda, sebagaimana diriwayatkan Abu Hurairah, sebagai berikut: “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh berkah. Allah mewajibkan kamu berpuasa, karena dibuka pintu-pintu surga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan, serta akan dijumpai suatu malam yang nilainya lebih berharga dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak berhasil memperoleh kebaikannya, sungguh tiadalah ia akan mendapatkan itu untuk selama-lamanya.” (HR. Ahmad, An-Nasa’I, dan Baihaqi).

Kelebihan-kelebihan Berpuasa Di Bulan Ramadan

Diampunkan Dosa-dosa Yang Lepas

Setiap dosa-dosa kecil yang lepas akan diampuni oleh Allah SWT. Namun begitu, dosa-dosa besar memerlukan taubat yang khusus. Hal ini juga bukan menjadi asbab untuk kita berhenti bertaubat. Di bulan puasa inilah di mana setiap umat Islam berlumba-lumba mengejar pahala dan berdoa agar diampunkan dosa-dosa mereka.

Rasulullah SAW bersabda:

Ertinya: “Barangsiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. -HR Bukhari & Muslim

Puasa di bulan ramadan juga perlulah ditunaikan dengan mengikut syarat-syarat sah berpuasa, iaitu:

  • Beragama Islam dan berakal
  • Baligh dan mampu
  • Suci dari haid dan nifas

Malam Lailatul Qadar

Antara 10 malam terakhir bulan Ramadan adalah malam Lailatul Qadar yang dinantikan para umat Islam kerana ia adalah malam penuh rahmat dan kemuliaan. Jika beribadah pada malam tersebut, maka pahalanya lebih baik dari 1000 bulan. Malam lailatul qadar hanya berlaku setahun sekali dan mempunyai keistimewaannya tersendiri iaitu:

  • Waktu diturunkan Al-Quran
  • Lebih baik dari 1000 bulan
  • Malam penuh keberkatan
  • Turunnya Jibril dan para malaikat
  • Malam kesejahteraan
  • Dicatatkan takdir tahunan
  • Dosa diampunkan

Gambar dibawah merupakan doa yang dianjurkan jika bertemu dengan malam lailatul qadar dan perlu diamalkan:

doa bertemu malam lailatul qadar
Sumber: harianpost.my

 

Pintu Syurga Dibuka, Pintu Neraka Ditutup

Bermula dari waktu sahur sehingga malam amat berharga terutamanya 10 malam terakhir. Waktu awal pagi juga adalah berkat dan masa yang terbaik untuk memohon keampunan. Golongan yang akan menjadi penghuni syurga antaranya ialah yang sentiasa memohon keampunan Allah pada waktu awal pagi. Allah SWT berfirman-Nya bermaksud: “Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon keampunan).” (Surah az-Zariyat, ayat 18). Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, ayat al-Quran tersebut menunjukkan keutamaan memperbanyakkan istighfar pada waktu sahur.

Salah satu waktu yang mustajab untuk berdoa juga adalah waktu berbuka kerana doa orang yang berpuasa tidak akan ditolak. Setiap amalan kebaikan akan mendekatkan diri ke syurga Allah SWT dan dijauhi dari pintu neraka. Syaitan juga dibelenggu dan diikat membolehkan umat Islam jauh daripada hasutan syaitan. Ambillah peluang keemasan untuk berdoa dan memohon keampunan serta perlindungan dari Allah SWT. Selain itu, menghidupkan malam-malam bulan Ramadan dengan amal ibadah seperti qaimullail juga adalah amalan yang terbaik.

Bulan Turunnya Al-Quran

Allah SWT telah menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW pada tanggal 17 Ramadn di Gua Hira. Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu pertama iaitu Surah Al-Alaq ayat 1 sehingga 5 melalui malaikat jibril. Al-Quran merupakan petunjuk kepada manusia dan rujukan perbezaan antara yang hak dan batil.

Sepanjang bulan Ramadan, setiap umat Islam berazam untuk khatam 30 juzuk Al-Quran. Membaca Al-Quran bukan hanya memperoleh pahala tetapi juga menjadi pelindung serta syafaat di akhirat kelak.

Pahala Berganda

Setiap amalan yang dilakukan umat Islam pasti akan digandakan pahalanya. Antara amalan-amalan yang dapat dilakukan ialah ibadah-ibadah yang wajib dilakukan, amalan sunnah Rasulullah SAW seperti memakan kurma sebelum berbuka puasa dan ketika sahur, bersedekah, qiamullail dan menunaikan solat-solat sunat.

 

Keistimewaan Ramadan Kareem

 

  1. Syahrun Azhim (Bulan Yang Agung)
  2. Syahrul Mubarak (Bulan Keberkatan)
  3. Syahru Nuzulil Quran (Bulan Diturunkan Al-Quran)
  4. Syahrus Siyam (Bulan Berpuasa)
  5. Syahrul Qiyam
  6. Syahrus Sabri (Bulan Sabar)
  7. Syahrul Musawwah (Bulan Perhitungan)
  8. Syahrul Rahmah (Bulan Rahmat)

Hikmah Puasa Di Bulan Ramadan

 

Menjadi Orang Yang Bertaqwa

Ketakwaan seseorang umat Islam akan meningkat apabila dia berpuasa dengan baik dan ikhlas sepenuh hati. Maksud taqwa ialah menjaga,  melindungi, memerhati dan waspada. Apabila mereka berpuasa, mereka menahan diri daripada lapar dan dahaga serta dari melakukan dosa atau maksiat. sepanjang sebulan berpuasa tersebut telah mengajar mereka untuk lebih menjaga diri dari melakukan dosa dan mengawal nafsu, maka iman dan ketaqwaannya bertambah.

Mendekatkan Diri Kepada Allah

Pada bulan Ramadan, setiap amalan kebaikan akan dibalas berlipat ganda oleh Allah SWT. Umat Islam menjalankan ibadah puasa dan melakukan amalan sunnah yang dapat mendekatkan lagi diri kepada Allah. Banyak amalan yang dapat dibuat sepanjang ramadan seperti berazam khatam 30 juzuk Al-Quran, bersedekah dan melakukan solat-solat sunat. Betapa banyaknya pahala yang kita dapat kerana Allah jika kita mampu terus beristiqamah.

Memperbanyak Sedekah

Bulan Ramadan ialah bulan di mana umat Islam berlumba-lumba bersedekah kepada golongan-golongan yang memerlukan. Kita boleh bersedekah kepada anak-anak yatim, golongan miskin dan juga kepada negara Islam lain yang memerlukan pertolongan. Amalan bersedekah bukan hanya dengan memberi wang ringgit tetapi juga dengan cara-cara lain seperti dari segi tenaga dengan menjadi sukarelawan, memberi makan, membuang batu yang menghalang laluan, senyuman dan lain-lain. Bersedekah bukan hanya mendapat pahala dari Allah SWT tetapi juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama manusia.

Memahami Penderitaan Orang Kurang Berkemampuan

Dengan berpuasa dapat mengajar dan memahami penderitaan yan dialami orang yang kurang berkemampuan. Orang yang serba kekurangan seringkali mengalami rasa lapar dan dahaga terutamanya negara yang panas terik. Hal ini dapat merendahkan diri dan melahirkan rasa syukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan. Setiap rezeki yang kita perolehi adalah dari Allah SWT Maha Pemberi Rezeki. Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).” (Surah al-Baqarah, ayat 212)

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan