Kepentingan Membaca Kitab Al-Mathurat Yang Jarang Diamalkan

Betapa pentingnya mengamalkan al-Mathurat pagi dan petang sebagai rutin harian kita kerana banyak kelebihan yang kita akan dapat.

Kepentingan Al-Mathurat
Sumber: blogrojak

Kepentingan Al-Mathurat

Mendapat Syafaat di Hari Akhirat Kelak

Sesiapa yang mengamalkan al-Mathurat pagi dan petang akan dijamin kebahagian di dunia dan akhirat. Hal ini kerana banyak terkandung zikir dan doa sebagai rutin harian kita. Selain itu, sudah pasti jika kita membacanyanya Allah akan melindungi kita dari pagi hingga malam.

Contohnya, al-Mathurat mengandungi bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW. Dari Ibn Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda: “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.(HR at-Tirmizi) 

Setiap umat Islam yang berselawat ke atas Rasulullah satu kali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali. Allah SWT juga akan menghapuskan sepuluh kesalahan serta meninggikan darjat mereka.

Membersihkan Hati

Al-Mathurat mengandungi bacaan doa dan zikir yang melengkapi kehidupan harian kita dari pagi sehingga waktu malam. Semakin banyak kita berzikir, semakin bertambah rasa syukur kita kepada Allah. Allah SWT telah mengurniakan nyawa diberi peluang untuk bernafas dan menjalankan ibadah-Nya. Hal yang demikian membuatkan kita semakin dekat kepada-Nya.

Sikap yang paling kuat membelenggu manusia ialah sikap malas. Terdapat satu doa dan wirid di dalam Al-Mathurat iaitu: “Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah. Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung padaMu dari sikap pengecut dan bakhil serta dari cengkaman hutang dan penindasan orang”.

Jika kita mengamalkannya sebagai rutin harian, diri kita akan dijauhi setiap perbuatan buruk. Dengan izin Allah, setiap doa yang diminta oleh hamba-Nya, Allah akan memakbulkan doa-doa tersebut.

Mendapat Perlindungan Dari Allah SWT

Di samping itu, terkandung ucapan Taa’wuz iaitu “Aku bermohon perlindungan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang direjam”. Dengan mengamalkan setiap pagi dan petang, dengan izin Allah kita akan dilindungi dari gangguan syaitan. Begitu juga dengan ayat Kursi bahawa Allah menjanjikan akan ada penjaga dari Allah untuk melindungi kita.

Betapa mahalnya perlindungan dari Allah Yang Maha Melindungi yang amat diharapkan oleh setiap umat Islam kerana setiap apa yang akan berlaku hanya Allah yang tahu.

Kesimpulan

Ramai yang jarang mengamalkan al-Mathurat pagi dan petang dan tidak mengendahkannya. Al-Mathurat tidak terhad kepada wanita haid sahaja malah semua umat Islam patut membacanya sebagai rutin harian. Dalam sesuatu halaqah juga, mad’u disuruh mengamalkan al-Mathurat pagi dan petang sebagai mutabaah amal.

Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam sangat digalakkan mengamalkan al-Mathurat pagi dan petang seperti Rasulullah SAW yang turut mengajar sahabat-sahabatnya sepanjang hayat Rasulullah SAW yang menjamin kebaikan dunia dan akhirat.

 

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan