Saidina Abu Bakar As-Siddiq Khalifah Pertama Yang Memeluk Islam

Saidina Abu Bakar As-Siddiq ialah khalifah pertama yang terawal memeluk Islam dan sahabat akrab Rasulullah SAW yang sentiasa menemani baginda.

Saidina Abu Bakar As-Sidiq
Sumber: pixabay (pexels.com)

Pengenalan Saidina Abu Bakar As-Sidiq

Nama sebenar Saidina Abu Bakar ialah Abdullah Bin Usman Bin Amir Bin Amru Bin Ka’ab. Beliau merupakan salah seorang yang terawal memeluk Islam dan terkenal dengan peribadi yang mulia. Gelaran as-Siddiq adalah kerana beliau sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah SAW iaitu bermaksud orang yang paling benar dalam kata-kata.

Gelaran ini bermula ketika peristiwa Israk dan Mikraj apabila orang ramai mengatakan Rasulullah SAW berdusta tentang peristiwa tersebut. Namun, Saidina Abu Bakar terus menerimanya dan mempercayai peristiwa tersebut tanpa ragu-ragu.

Selain itu, beliau juga mempunyai gelaran lain iaitu ‘atiq, bebas daripada api Neraka. Saidina Abu Bakar As-Siddiq menerima Islam dengan mudah melalui dakwah secara rahsia dan sentiasa berdamping dengan Rasulullah SAW. Beliau juga merupakan sahabat Nabi yang paling akrab, mempunyai hati yang lembut tetapi tegas.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq dilantik sebagai khalifah pertama semenjak berlakunya sebuah majlis Syura yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin untuk mencari pemimpin Islam yang seterusnya selepas kewafatan Rasulullah SAW walaupun beliau mendapat tentangan pada awalnya.

Sifat Peribadi

  • Pemurah: Beliau membeli dan  memerdekakan hamba-hamba yang diseksa seperti Bilal Bin Rabah.
  • Berani: Beliau selalu membela Rasulullah SAW yang cuba dibunuh oleh kaumnya semasa di Mekah.
  • Dermawan: Banyak membelanjakan harta ke jalan Allah SWT. Sewaktu perang Tabuk, ketika Rasulullah SAW mengimbau untuk mengumpulkan bantuan, Saidina Abu Bakar telah mengumpul kesemua harta benda yang berada di rumah. Beliau memberikan duit sebanyak 40000 dirham. Kesemuanya dibelanjakan di jalan Allah SWT manakala 5000 dirham digunakan untuk memerdekakan hama-hamba sahaya dan keperluan agama.
  • Lembut Hati: Mudah menangis terutamanya ketika membaca al-Quran.
  • Setiakawan: Setia bersama Rasulullah SAW dalam apa jua rintangan menyebarkan dakwah. Beliau sentiasa di samping rakannya yang berada dalam kesusahan. Hal ini dapat dilihat ketika Raslullah SAW berhijrah dari Mekah ke Yatsrib. Beliau membuat persiapan dengan membawa bekal dan menemani Rasulullah SAW.

Sumbangan Abu Bakar As-Siddiq

  • Memerangi golongan enggan membayar zakat, murtad dan nabi palsu

Semasa Saidina Abu Bakar dilantik sebagai khalifah, ramai dalam kalangan umat Islam yang murtad kerana enggan membayar zakat atau dikatakan golongan al-Riddah. Sebelum beliau menghapuskan golongan ini dengan menghantar surat utusan untuk mengajak mereka kembali kepada Islam, namun hanya segelintir sahaja yang menerimanya.

Oleh itu, beliau menghapuskan dangan mengetuai pasukan ketenteraan. Hasilnya adalah tentera Islam berjaya mengembalikan mereka kepada Islam.

  • Mengarahkan Zaid Bin Thabit mengetuai usaha menghimpunkan al-Quran

Akibat daripada peperangan menghapuskan golongan al-Riddah, ramai penghafal al-Quran yang terkorban. Beliau bimbang terhapusnya al-Quran dan berlaku penyelewengan. Para sahabat mencadangkan untuk menubuhkan pasukan khas menulis al-Quran. Zaid Bin Thabit menjadi ketua kumpulan tersebut.

Mereka perlu mengumpul dan menulis semula al-Quran di kulit binatang, kayu dan pelepah tamar. Al-Quran tersebut disimpan di dalam rumah Saidina Abu Bakar dan dibuku di zaman Saidina Umar yang dikenali sebagai Mushaf Uthmani.

  • Meneruskan cita-cita selepas Rasulullah SAW wafat dengan menghantar pasukan Usamah Bin Zaid ke sempadan negeri Syam untuk memerangi kerajaan Byzantine

Para sahabat mencadangkan ekspedisi ketenteraan ke sempadan Syam ditangguhkan dan memberi tumpuan kepada ancaman al-Riddah. Saidina Abu Bakar as-Siddiq tegas dengan keputusannya dan berperang selama 40 hari. Akibat daripada kemenangan yang diperolehi, musuh-musuh Islam gerun untuk memerangi kota Madinah. Oleh itu, pasukan tentera Islam tersebut diarahkan untuk menjaga kota Madinah.

  • Perluasan Kuasa

Beliau turut menyebarkan syiar Islam. Keadaan Rom yang porak-peranda akibat kezaliman pemerintahannya memudahkan pertapakan Islam di Rom. Rom merupakan kerajaan besar dan kuat menguasai Mesir dan terdiri daripada pelbagai kaum dan agama Kristian.

Selain itu, di Parsi juga mudah ditakluki oleh Panglima Khalid al-Walid dan Muthana Bin Harith. Di Syria juga berlaku kezaliman pemerintahan yang memudahkan Saidina Abu Bakar menakluk Syria. Beliau menghantar 4 pasukan tentera untuk melawan pemberontakan orang badwi.

Pengajaran

Berani

Sebagai generasi muda, kita perlu contohi keberanian Saidina Abu Bakar dengan tidak pernah gerun mencuba sesuatu yang baharu. Beliau mempunyai jiwa besar yang tidak pernah gerun dengan apa sahaja halangan, sebaliknya beliau sentiasa bersedia mempersiapkan diri dengan strateginya sendiri yang teratur. Setiap pelan yang dibuat olehnya dan baginda memperoleh kejayaan.

Tidak Putus Asa

Beliau tidak pernah berputus asa dan yakin kepada pertolongan Allah serta tawakkal kepada Allah. Tiada yang mudah dalam dunia ini. Siapa lagi yang ingin memperbaiki diri selain daripada diri sendiri? Kita perlu berusaha dan tidak mudah mengalah terhadap sesuatu yang sukar seperti mempelajari sesuatu bidang. Kita tidak boleh menganggap sesuatu itu susah dicapai dalam minda.

Ketakutan kepada kesukaran terhadap sesuatu itu perlu dielakkan dalam minda setiap manusia. Susah-susah dahulu, senang-senang kemudian adalah peribahasa melayu yang perlu ditanam dalam diri anak-anak muda untuk terus mencabar cuba sesuatu yang baharu.

Suka Mencuba Benda Baharu

Di samping itu, sikap berani berhijrah juga perlu ditanam dalam diri generasi muda kini. Contohnya, kebanyakan graduan tertumpu kepada kerja makan gaji tetapi setiap jiwa anak muda perlu mempunyai niat untuk mencipta kerjaya sendiri.

Mereka perlu mencebur diri mencuba apa sahaja bidang yang dapat menolong masa hadapan mereka. Semakin ramai yang menganggur kerana tidak mendapat tawaran pekerjaan, maka kita tidak boleh hanya berharap pada satu pekerjaan sahaja.

Menderma

Selain itu, pelu ditanam sikap suka menderma seperti Saidina Abu Bakar yang menggunakan segala hartanya demi agama Islam dan di jalan Allah SWT. Setiap perbelanjaan kita perlulah dibelanjakan sebaik-baiknya dan tidak mengamalkan sikap suka membazir atau boros dengan membeli barang-barang yang tidak perlu.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan