Larangan Memutuskan Hubungan Silaturrahim

Larangan Memutuskan Hubungan Silaturrahim

Silaturrahim

Adakala kita sering mendengar seorang ibu atau ayah menyebut anak kandungnya sendiri sudah bukan sebahagian dari keluarganya lagi. Atau sebaliknya, seorang anak tidak lagi mengakui ayah dan ibunya sebagai orang tua atas alasan tertentu. Islam melarang keras sikap semacam itu. Al-Qur’an, Sunnah, dan para ulama sepakat akan pentingnya tali kekeluargaan dan menilai pengingkaran terhadapnya sebagai perbuatan dosa.

Maksud Silaturrahim

Kalimah Silaturrahim diambil daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” yang bermaksud hubungan dan “الرحم” bererti kaum kerabat yang terdekat. Ia membawa maksud memelihara dan menyambung hubungan dengan kaum kerabat yang terdekat.

Sebahagian Ulama berpendapat kalimah Rahim terbatas kepada mahram sahaja dan ada juga Ulama yang berpendapat ia adalah dikalangan ahli waris.

Larangan Memutuskan Hubungan Silaturrahim

Memutuskan hubungan silaturrahim termasuk di dalam dosa dosa besar secara ijmak ulama. Memutus silaturrahim boleh berlaku dengan memencilkan hati rahimnya/kerabat terdekatnya dan meminggirkan mereka sama ada dengan cara tidak berbuat ehsan kepada mereka. Seperti tidak memberikan harta ketika mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan. Sedangklan kita berkemampuan daripada sudut kewangan atau tidak menziarahi mereka tanpa ada sebarang keuzuran.

Uzur yang dimaksudkan adalah seperti seseorang itu hilang sesuatu yang boleh menyatukan hubungan dengan mereka. Seperti hilang harta atau pun ada harta tapi harta tersebut hanya memenuhi hajatnya sahaja yang lebih utama untuk dibelanjakan.

 

Rasulullah bersabda ﷺ :

لَيْسَ الوَاصِلُ بِالمُكَافِئ، وَلكِنَّ الوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

Maksudnya:  “Bukanlah orang yang menyambung (silaturrahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.”

Riwayat al-Bukhari (5991)

 

Hadis ini mengisyaratkan bahawa seorang lelaki yang menyambungkan hubungan dengan rahimnya atau kaum kerabatnya yang tidak menyambungkan hubungan dengannya lagi adalah lebih afdhal daripada dia menyambungkan hubungan dengan kaum kerabatnya yang tidak memutuskan silaturrahim dengannya kerana itu antara akhlak baik yang amat disarankan oleh syarak.

Memutuskan silaturrahim boleh berlaku dengan cara menyakitinya, tidak menziarahinya, lalu datang rasa kecil hati dan dipencilkan di dalam hatinya, atau mereka adalah kerabat fuqara yang sangat berhajat kepada bantuan sedangkan seseorang itu mempunyai harta yang melebihi hajatnya, selain itu juga dia mampu membantunya, namun begitu dia tetap juga tidak mahu membantunya.

Imam Al-Qurtubi Rahimahullahu Taala  menyatakan berkaitan perkataan “أَرْحَامَكُمْ” Surah Muhammad ayat 22-23 :

  • Perkataan Rahim boleh membawa makna Am dan Khas. Apa yang dimaksudkan dengan makna Am ialah kerabat dari sudut Agama. Mereka ialah saudara-saudara kamu seagama walaupun diantara kamu tiada pertalian kerabat. Maka wajib kamu menyambungkan silaturrahim berdasarkan keimanan dengan cara berkasih-sayang tolong-menolong, nasihat-menasihati, tidak memudharatkannya, berlaku adil, memberi hak yang sepatutnya dan menunaikan hak-hak yang wajib seperti memunaikan hak-hak orang yang meninggal dunia seperti memandikan, solat atasnya , mengebumikan dan juga hak-hak yang harus seperti menziarahinya ketika sakit. Adapun Rahim dari sudut yang khusus ialah membawa makna kaum kerabat dari sebelah pihak bapa dan ibu. Maka wajib bagi mereka menunaikan hak yang khusus seperti memberi nafkah bersesuai dengan keadaaan mereka dan tidak melalaikan perkara yang dijanji pada waktu-waktu yang mereka perlukan.

 

Kaedah Bersilaturrahim

 

Silaturrahim

  • Jika kita boleh menziarahi rahim/kaum keramat terdekat dengan kita maka jangan sekali mengabaikannya. Hendaklah kita menziarahi mereka. Tidak memadai jika mengirimkan salam kepada mereka tanpa menziarahi mereka. Dalam beberapa keadaan memang memadai hanya dengan mengirimkan salam. Tetapi jika berada di tempat yang sama, negeri yang sama, daerah yang sama kemudian tidak pula menziarahinya dalam jangka masa setahun, tidak juga dalam 2 tahun dan tidak juga menziarahnya pada tahun yang ketiganya, sedangkan dia mampu melakukannya maka inilah dosa memutuskan silaturrahim.
  • Adapun rahim atau kerabat terdekat tersebut tidak suka kerabatnya ini memasuki rumahnya dan tidak pula redha orang tersebut berbuat demikian serta orang tersebut ini pula tahu bahawa dia tidak menyenangi/tidak redha dia memasuki rumahnya maka tiada dosa dikenakan ke atasnya kerana kerabatnya itu tidak redha dia berbuat demikian. Jatuh tanggungjawab tersebut daripadanya. Walaupun begitu, dia masih lagi perlu bertindak mengirimkan salam kepadanya atau menyampaikan salam secara bertulis mahupun telefon (whatsapp, sms & lain2). 
  • Namun, jika ada kerabatnya amat suka dia masuk ke rumahnya dan dia dibenarkan duduk di dalam rumahnya, maka tidak memadai dengan hanya mengirimkan salam bagi tempoh yang lama tidak bersua. Adapun jika dah berjumpa dengannya sebelum ini dalam tempoh yang terdekat maka sudah memadai dengan hanya kiriman salam.
  •  Jika seseorang itu memiliki keuzuran seperti dia berada di tempat yang jauh seperti luar negeri atau luar negara dan susah untuknya pergi menziarahi kaum kerabatnya, jika dia menghilangkan diri misalnya 3 tahun sedangkan dia masih lagi mengirimkan salam dari semasa ke semasa maka itu tidak mengapa.
  • Jika kita pergi menziarahi kaum kerabatnya tetapi mereka tiada di rumah, maka hendaklah orang tersebut meninggalkan pesanan di atas pintu rumahnya atau kepada jirannya. Contohnya “ Saya adalah si fulan, saya telah datang menziarahimu tetapi saya dapati kamu tiada di rumah”.
Keadaan Diharuskan Memutus Silaturrahim

 

Silaturrahim

Antara keuzuran atau alasan seseorang itu dibenarkan tidak menziarahi kerabatnya/rahimnya :

  • Dia mendengar bahawa kaum kerabatnya ini telah melakukan riddah/murtad seperti mencaci Allah, para nabi, malaikat, atau mempersendakan al-Quran dan seumpamanya, maka orang ini tidak perlu lagi disambung hubungan silaturrahim dengannya.
  • Diharuskan memutuskan silaturrahim sekiranya kerabatnya itu fasiq disebabkan sikapnya meminum arak, meninggalkan solat, berzina dan seumpamanya. Perlu diingat tidak diharuskan memutuskan silaturrahim dengannya melainkan setelah memberitahunya terlebih dahulu apakah sebab kita bertindak sedemikian agar dia sedar dan meninggalkan perbuatan keji tersebut.

 

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ اللّهِ مِن بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ اللّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأَرْضِ أُوْلَئِكَ لَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ

Maksudnya“ Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, – mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya”.

(Surah ar-Ra’d : 25)

 

Berkata Ibnu Abi jamrah (dalam Kitabnya Bahjah An-Nufus jilid 4 hlmn 146) Rahimahullahu Taala:

  • Silaturrahim boleh dilakukan dengan harta, menolongya ketika ia berhajat, membantunya menolok kemudharatan, bermuka manis, berdoa. Semua ini dilakukan sekiranya kaum kerabat tersebut mereka istiqamah di dalam kebaikan. Namun, sekiranya mereka golongan kuffar dan sering melakukan kejahatan maka memutuskan silaturrahim dengan mereka dengan niat kerana Allah SWT. Dan berusaha menasihati mereka (mengikut kadar kemampuan) kemudian memberitahu sekiranya ia berttrusan di dalam kejahatan yang dilakukan maka itulah menjadi sebab terputusnya silaturrahim. Maka tindakan inilah sebenarnya dinamakaan silaturrahim dengan mereka.

Namun, perlu diingat bahawa hubungan dengan mereka (yang fasik dan jahat ini) masih berterusan walaupun telah terputus, dengan sentiasa berdoa kepada mereka supaya Allah SWT memberi hidayah kepada mereka agar berubah ke arah kebaikan.

 

Nabi S.A.W bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ يَاَ

Maksudnya: “Wahai Manusia sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah diwaktu malam hal keadaan manusia sedang tidur, maka masuklah kamu ke dalam Syurga dengan sejahtera dan selamat.

Riwayat Ibnu Majah (3251)

 

Hadis ini meminta kita lakukan 4 perkara iaitu:

  1. Sebarkanlah salam iaitu memberi salam kepada orang kamu kenal ataupun tidak.
  2. Memberi makan dan minum kepada terutama kepada mereka yang memerlukan.
  3. Sambunglah silaturrahim antara kaum kerabat.
  4. Solatlah dimalam hari diwaktu manuasia sedang tidur. Bermunajat kepada Allah SWT.

Kesimpulan, menjaga dan menghubungkan silaturrahim merupakan perkara yang dituntut di dalam agama. Semoga kita bersama-sama termasuk di dalam golongan yang menyambung dan memelihara silaturrahim.

.

.

Kredit : Mufti Wilayah Persekutuan

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan