Masa Itu Kehidupan! Hargailah Masa!

kehidupan

Al-Ashr bermaksud masa. Masa dari segi istilah adalah detik, waktu atau zaman yang dilalui oleh seseorang yang menjalani kehidupan. Masa juga merujuk kepada rangkaian atau rentetan yang telah berlalu, dan yang akan datang.

Ramai yang berkata masa itu adalah wang. Tapi sebenarnya ia tidak tepat. Masa sebenarnya ialah kehidupan.

Imam Hassan al-Banna berkata:

“Sesiapa yang tahu nilai sebenar masa akan tahu tentang hidup itu sendiri kerana masa adalah kehidupan.”

Kita sebagai manusia seringkali terleka dengan masa lapang dan mudah lalai dengan kehidupan fana ini. Kadangkala sudah bertekad dan berazam untuk menggunakan masa dengan baik. Namun akhirnya kecundang jua, jalan pembaziran yang menjadi pilihan untuk dilalui. Jika waktu itu kita gunakan untuk amal kebajikan, itulah jalan terbaik yang akan menghasilkan kebaikan.

Tepuk dada, tanya iman! Kita mahu menjadi orang beruntung atau orang yang rugi?

Memahami Nilai Masa

  • Masa adalah kurniaan daripada Allah. Pertukaran siang dan malam ini merupakan satu peringatan daripada tuhan bahawa tiada apa yang kekal dan putaran ini tidak akan berhenti. Jadi ini sepatutnya menjadikan kita bersyukur untuk masa yang diberikan kepada kita dan kita tidak patut mensia siakan begitu saja.
  • Masa tersangatlah penting sehingga Allah bersumpah dengannya di dalam al-Quran, Surah al-‘Asr ayat 1-3.
  • Dua kurniaan yang ramai orang hilang. Iaitu kesihatan dan waktu lapang untuk berbuat perkara yang baik. Masa yang diberikan kepada kita di dunia adalah keseluruhan masa yang ada untuk menanam benih-benih perbuatan baik dengan harapan kita akan menuai ganjaran kebaikan di akhirat. Masa ini sangatlah terhad dan tidak boleh diulang, ditukar atau diberikan semula kepada orang lain.

 

Punca Pembaziran Masa

Ada manusia yang mampu menguruskan masa dengan baik dengan melakukan kebaikan dan memperoleh redha daripada Allah. Ada juga manusia yang tidak tahu menghargai masa dengan melakukan perkara yang yang melalaikan. Persoalannya, mengapakah perkara ini seringkali terjadi?

“Iman itu kadang naik kadang turun, maka perbaharuilah iman kalian dengan la ilaha illallah.”

(HR Ibn Hibban)

Antara punca pembaziran masa :

Imannya Kadangkala Turun & Naik

  • Tidak tetap. Perkara inilah yang perlu kita akui sebagai insan yang lemah di hadapanNya. Perlu diingatkan juga, walaupun iman ini sentiasa naik dan turun, namun kita punyai pilihan sama ada untuk meningkatkannya atau mengurangkannya. Apabila iman sudah tetap di hati, maka pengurusan mengenai masa bukanlah masalah terbesar yang perlu dihadapi.

Manusia Mempunyai Hati Yang Mudah Berbolak-Balik

  • Mungkin di siang hari, kita senang untuk melakukan kebaikkan, tetapi tiba di malam hari, kita berubah dan lebih tega untuk melakukan maksiat. Begitulah manusia yang mempunyai hati tidak tetap dan seringkali berubah. Namun bila hati kita semakin tetap, semakin sukar untuk kita jatuh dan tergelincir ke kancah maksiat. Tetapi sebagai manusia kita tahu bukan mudah untuk tetapkan hati.

Janji Syaitan Terhadap Allah s.w.t 

  • Sebelum golongan ini keluar dari syurga dan ditempatkan pula di neraka jahanam. Syaitan telah berjanji akan terus menyesatkan cucu cicit Adam sehingga hari kiamat tiba. Hanya manusia yang benar-benar ikhlas sahaja dan tidak lalai akan terselamat dari godaan dan tipu daya syaitan

 

Kesimpulannya, marilah kita muhasabah diri, sejauh manakah masa yang kita gunakan dalam kehidupan seharian. Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang. Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Pepatah Arab ada menyebut, “Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu.” Sedetik yang berlalu belum tentu boleh diganti dan dicari semula.

 

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan