Persahabatan Yang Membawa Ke Syurga

Setiap manusia pasti mempunyai rakan karib atau sahabat baik semenjak dari zaman persekolahan. Sahabat adalah insan yang paling kita inginkan sebagai peneman. Sahabat yang baik akan mengingatkan diri kita dan membawa kita ke Syurga manakala jika sebaliknya pasti kita akan terikut dengan perilakunya.

 

Sahabat Hingga Ke Syurgaa
Sumber: Ivan Samkov (pexels.com)

 

Kisah Persahabatan Zaman Nabi Muhammad SAW

Rasulullah SAW juga dikerumuni oleh sahabat-sahabat yang hebat dan baginda menyayangi semua sahabat-sahabatnya sehingga baginda wafat. Hubungan karib mereka menguatkan persahabatan mereka, tiada perasaan cemburu, hasad dengki dan menyimpan dendam tetapi mereka sama-sama menegakkan Islam dan mengharungi peperangan bersama.

Saling Sayang Menyayangi

Orang Islam tidak boleh menganiya saudara seislam yang lain. Sebaliknya umat Islam perlu saling mengasihi antara satu sama lain. Ini kerana umat Islam perlu bersatu dan berpadu bagi menyerlahkan keindahan Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pengorbanan Sahabat

Sirah Rasulullah SAW menunjukkan perancangan hijrah untuk menyebarkan dakwah di Madinah dibantu oleh sahabat baginda yang sentiasa berada di sisinya. Pengorbanan sahabat baginda seperti Saidina Abu Bakar banyak membantu dalam mengembangkan Islam di luar Makkah.

Sahabat Rasulullah SAW memainkan peranan yang besar dalam membantu baginda menjalankan amanah sebagai seorang Rasul. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:

“Muhammad ialah utusan Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang antara mereka (umat Islam). Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang yang soleh) terdapat pada muka mereka, daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).” (Surah al-Fath, ayat 29)

Sahabat Bawa Ke Syurga

Di samping itu, seseorang insan dinilai keperibadiannya berdasarkan siapa yang menjadi sahabatnya. Jika kita mampu menjadi sahabat yang baik, maka kita membawa kebaikan buat sahabat di sekeliling kita. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Seseorang itu bergantung kepada agama sahabatnya. Kerana itu, perhatikanlah setiap seorang di antara kalian dengan siapa dia bersahabat.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis ini memberi petunjuk yang jelas bahawa sahabat memberi pengaruh yang besar dalam penilaian keperibadian seseorang. Rasulullah SAW bersabda tentang kebaikan memiliki sahabat:

“Setelah orang Mukmin itu dibebaskan dari neraka, demi Allah, Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kalian begitu gigih dalam memohon kepada Allah untuk memperjuangkan nasib saudaranya yang berada di dalam neraka pada hari kiamat. Mereka memohon: ‘Wahai Tuhan kami, mereka itu (yang masih tinggal di neraka) pernah berpuasa bersama kami, solat, dan juga haji.”

Maka dijawab oleh Allah:

“Keluarkan (dari neraka) orang yang kalian kenal.”

Sehingga wajah mereka diharamkan untuk dibakar oleh api neraka. Mukminin ini pun mengeluarkan ramai saudaranya yang telah dibakar di neraka, ada yang dibakar sampai betisnya dan ada yang sampai lututnya. Kemudian, orang Mukmin itu menyatakan kepada Allah:

“Wahai Tuhan kami, orang yang Engkau perintahkan untuk dibebaskan dari neraka, sudah tidak ada yang berbaki.”

Nilai Persahabatan Yang Perlu Ketahui

  1. Persahabatan memberi pengaruh yang kuat
  2. Persahabatan dalam Islam berhubung dengan Allah
  3. Sahabat yang baik akan membimbing kita kepada Allah
  4. Meningkatkan prestasi hidup sebagai seorang manusia
  5. Sahabat adalah salah satu harta yang berharga

Panduan Bersahabat Daripada Rasulullah SAW

  1. Bersopan dalam berkata-kata dengan tujuan menjaga emosi dan perasaan dan tidak menggunakan perkataan-perkataan yang kesat.
  2. Jangan menyebarkan aib atau sesuatu yang tidak baik mengenai sahabat kita.
  3. Kehidupan peribadi seperti masalah keluarga adalah hak mereka. Kita tidak perlu menyibukkan diri untuk mengetahui hidup privasi mereka kecuali diluahkan.
  4. Apabila salah seorang dari sahabat kita melakukan kesalahan atau membuat perkara terlarang, kita perlulah berlapang dada menegur mereka ke jalan yang benar semula dan sebaliknya.
  5. Jangan memburuk-burukkan sahabat di hadapan orang lain dan sombong terhadap sahabat sendiri.
  6. Elakkan daripada membanggakan atau memuji sahabat secara berlebihan dan tidak ikhlas. Begitu juga dengan membuat-buat cerita yang tidak benar.

Kesimpulan

Jagalah sahabat kita seperti mana kita menjaga keluarga kita. Sahabat lah yang selalu menolong kita jika kita berada dalam kesusahan dan juga tempat untuk kita meluah. Kita perlu bersyukur jika dikurniakan sahabat yang begitu baik dan sentiasa prihatin terhadap kita kerana sahabat yang soleh akan membawa kita ke syurga.

Kita perlulah mencari sahabat yang soleh dan solehah agar kita dapat sama-sama menuju ke Syurga. Setiap yang kita lakukan adalah refleksi terhadap rakan kita kerana sahabat adalah seperti keluarga kedua, tempat kita meluah dan meluangkan masa bersama. Oleh itu, kita mestilah bijak dalam memilih sahabat dan sentiasa berdoa dikelilingi orang-orang yang baik.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan