Punca-punca Doa Tidak Dimakbulkan

Doa ialah tiang agama umat Islam dan Allah mendengar setiap doa hamba-hambaNya tetapi dosa dan maksiat kita yang menyekat doa dari dimakbulkan.

 

punca doa tidak dimakbulkan
Sumber: wallpaperflare.com

Sebagai umat Islam, setiap hujung bibiran tidak pernah berhenti berdoa kepada Sang Pencipta kita, Allah SWT. Walau bagaimanapun, adakah doa-doa kita dimakbulkan walaupun kita manusia yang bergelumang dengan pelbagai dosa?

Ada waktu kita tertanya mengapa doa kita lambat dimakbulkan. Namun begitu, Allah sentiasa mendengar permintaan hamba-hambaNya dan akan memberikan yang terbaik untuk setiap hambaNya. Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang agama dan Nur bagi langit dan bumi. Kita manusia tidak lari dari berbuat dosa dan lalai dengan bisikan syaitan. Hanya berdoa ketika dalam kesusahan dan lupa diri apabila dalam kesenangan.

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi”.
(HR Hakim)

 

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa mahu supaya doanya dikabulkan ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan”.

(HR Tirmizi)

Punca-punca Doa Tidak Dimakbulkan

1. Tidak Berdoa Dengan Sepenuh Hati Dan Yakin

Apabila kita berdoa perlulah secara ikhlas, bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa. Perasaan was-was atau tidak yakin kepada Allah SWT akan menyebabkan doanya tidak dimakbulkan. Surah al-Baqarah, ayat 186:

Ertinya: “Apabila hambaKu bertanya mengenaiKu, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku perkenankan orang yang berdoa”.

Perlu untuk kita merasai diri diperhatikan oleh Allah SWT setiap masa terutamanya ketika beribadah dan yakin dengan setiap ketentuan dan kewujudan Allah SWT.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud :

“Mohonlah kepada Allah s.w.t keampunan serta kesejahteraan. Sesungguhnya kurnian yang terbaik untuk seseorang itu selepas mendapat keyakinan ialah mendapat kesejahteraan hidup.”
-Riwayat Tirmizi

2. Diri Diselubungi Dosa

Salah satu sebab doa tidak atau lambat dimakbulkan kerana diri bergelumang dengan dosa dan maksiat dunia. Manusia memang tidak lari melakukan dosa tetapi yang membezakan mereka adalah bagaimana mereka bertaubat dan insaf atas dosa yang dilakukan. Allah sentiasa membuka pintu keampunan kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Antara dosa-dosa yang tidak diampunkan:

  • Makan harta anak-anak yatim secara haram
  • Menuduh wanita solehah berzina
  • Melakukan sihir
  • Syirik kepada Allah SWT

3. Berdoa Perkara Yang Tidak Baik

Antara doa-doa yang dimakbulkan ialah doa yang merupakan dosa atau memutus tali silaturrahim. Elakkan diri dari mendoakan untuk keburukan seseorang. Sebaiknya doa yang baik-baik untuk mereka agar segera diberi hidayah oleh Allah SWT.

4. Meninggalkan Amar Makruf Nahi Mungkar

Segala perbuatan yang kita lakukan sehari-hari dicatat oleh malaikat rakib dan atib serta sentiasa dilihat oleh Allah SWT. Ada masa kita inginkan sesuatu daripada Allah SWT, namun diri kita sendiri terasa jauh daripada Allah SWT. Contohnya, kita inginkan sesuatu yang baik dari kawan sendiri tetapi berkemungkinan sikap kita terhadapnya kurang menyenangkan. Jika kita terlalai dengan hasutan syaitan sehinggakan pelbagai maksiat sudah sebati dalam diri, cepat-cepat bertaubat dengan melakukan amar makruf nahi mungkar agar tidak bergelumang dengan dosa-dosa.

5. Ditunda

Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya, Kemungkinan doa itu bukanlah tidak dimakbulkan tetapi lambat dikabulkan dan hanya Allah SWT yang tahu. Ada yang segera dikabulkan, ada juga yang lambat. Oleh sebab itu, kita perlu terus  berdoa dan tidak putus asa dalam masa itu juga sentiasa melakukan amar makruf dan nahi mungkar agar sentiasa dekat denganNya. Dengan izin Allah, doa hambaNya sentiasa didengari. Allah Maha Mengetahui atas apa yang habaNya tidak ketahui.

6. Ingin Segera Dimakbulkan

Selain itu, berkemungkinan dalam berdoa tanpa kita sedar bahawa kita ingin segera dimakbulkan dalam secara paksaan. Hal ini menyebabkan, sesetengah manusia akan cepat putus asa selepas doanya dianggap tidak dimakbulkan. Sesungguhnya merka yang berputus asa akan terputus dari rahmat Allah SWT. Oleh itu, kita kena bersabar dan sentiasa niat yang ikhlas.

Waktu-waktu Yang Mustajab Untuk Berdoa

  • Ketika Hujan, Azan dan iqamat

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu doa ketika waktu azan dan doa ketika waktu hujan”.
-Riwayat Hakim dan disahkan oleh Adz Dzahabi-

  • Pasukan Tentera Bertempur

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukkan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan”.
-Riwayat Abu Daud-

  • Bersujud ketika solat fardhu

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Seorang hamba paling hampir kepada Tuhannya adalah ketika sujud, maka kamu perbanyakkanlah doa”.
-Riwayat Muslim An-Nasa’i, Abu Daud dan Ahmad-

  • Sepertiga malam terakhir
  • Hari jumaat
  • Saat berbuka puasa
  • Malam lailatul qadar
  • Hari Arafah (10 zulhijjah)
  • Doa mukmin untuk saudaranya

Terdapat juga tiga golongan yang doanya tidak akan ditolak iaitu doa orang yang berpuasa, pemimpin yang adil dan orang yang dizalimi. Janganlah kita menzalimi sesiapa sahaja kerana tidak ada hijab antaranya dengan Allah untuk mengabulkan. Oleh itu, kita janganlah berhenti dan sentiasa berdoa terutamanya selepas menunaikan solat fardhu kerana Allah SWT sentiasa menanti doa dari hamba-hambaNya ketika susah mahupun senang.

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan