Sedekah berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud benar. Dari segi syarak, sedekah bermakna pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan secara sukarela dan ikhlas tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT .
Nabi Muhammad SAW besabda: ” Tiga perkara aku bersumpah menegaskan kebenarannya iaitu tiadalah berkurangan harta seseorang disebabkan bersedekah. Tiadalah seseorang yang dizalimi itu bersabar, melainkan Allah menambahkan dia kemuliaan. Dan tiadalah seseorang memulakan sesuatu cara meminta sedekah, melainkan Allah membukakan kepadanya pintu kepapaan. Aku menerangkan kepada kamu satu hadis pengajaran untuk dijadikan ikhtibar.” (Hadis Riwayat Abu Kabsyah al-Anmari r.a.)
Dalam sebuah hadis digambarkan, “Memberikan senyuman kepada saudaramu adalah sedekah.”
“Tiap-tiap amalan makruf (kebaikan) adalah sedekah. Sesungguhnya di antara amalan makruf ialah berjumpa kawan dengan wajah ceria (senyum) dan mengurangkan bekalanmu untuk diisikan ke mangkuk kawanmu.” (Hadis Riwayat Ahmad r.a.)
Kenapa kita perlu bersedekah? Banyak kelebihan yang kita akan dapat sekiranya kita bersedekah. Antara kelebihan orang yang bersedekah ialah:
1. Terhapus dosa-dosanya
Tahukah anda bahawa amalan bersedekah mampu untuk menghapuskan dosa-dosa yang terdahulu? Ya, ia mampu untuk menghapuskan dosa-dosa terdahulu, tetapi dengan syarat bahawa kita telah menginsafi dan mengesali dosa-dosa kita yang terdahulu dengan melakukan taubat nasuha terlebih dahulu.
Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR. Tirmidzi)
2. Mendapat naungan di hari akhirat
Allah SWT akan memberikan kita naunganNya di akhirat kelak sekiranya kita rajin bersedekah. Sedekah yang sebaik-baiknya ialah sedekah yang tidak menunjuk-nunjuk.
Rasulullah SAW bersabda: “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (HR. Bukhari)
3. Terhindar dari api neraka
Ringan tangan untuk memberikan sedekah juga dapat menghindarkan diri kita dari api neraka di akhirat kelak.
Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma. Jika kamu tidak punya, maka bisa dengan kalimah thayyibah.” (HR. Bukhari dan Muslim)
4. Memadamkan kepanasan alam kubur
Orang yang sentiasa bersedekah akan dipadamkan kepanasan alam kubur oleh Allah SWT terhadapnya nanti di alam kubur.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah itu benar-benar akan dapat memadamkan panasnya alam kubur bagi penghuninya, dan orang mukmin akan bernaung dibawah bayang-bayang sedekahnya.” (HR. At-Thabrani)
Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.” (HR. Ath-Thabrani)
5. Rezeki melimpah ruah
Sekiranya kita memberikan sedekah, rezeki yang kita miliki tidak akan berkurang malah ianya akan sentiasa bertambah, setimpal dengan apa yang kita sedekahkan, malah kita akan mendapat lebih lagi dari apa yang kita berikan.
Rasullah SAW bersabda: “Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah; kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”
Rasulullah SAW bersbda: “Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kebaikan baginya.” (HR. Muslim)
6. Mengubati penyakit
Rasulullah SAW bersabda: “Ubatilah orang-orang yang sakit di antara kalian dengan bersedekah.”
7. Terhindar dari segala bala dan bahaya
Rasulullah SAW bersada: “Bersegeralah untuk bersedekah kerana musibah dan bencana tidak bisa mendahului sedekah.”
8. Mendapat pahala yang berlipat ganda
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang yang mendermakan(sedekah) harta bendanya di jalan Allah, seperti (orang yang menanam) sebutir biji yang menumbuhkan tujuh untai dan tiap-tiap untai terdapat seratus biji dan Allah SWT melipat gandakan (balasan) kepada orang yang dikehendaki, dan Allah Maha Luas (anugerahNya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 261)
9. Tidak putus amalan sampai mati
Riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anak cucu Adam itu mati, maka terputuslah semua amalnya, kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariah, anak yang sholeh yang memohonkan ampunanuntuknya (Ibu dan bapanya) dan ilmu yang berguna setelahnya.”
10. Terdapat pintu khusus untuk orang yang bersedekah
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Orang memberikan menyumbangkan dua harta di jalan Allah, maka dia akan dipanggil oleh salah sau dari pintu syurga: Wahai hamba Allah, ke marilah untuk menuju kenikmatan. Jika dia berasal dari golongan orang-orang yang suka mendirikan solat, dia akan dipanggil dari pintu solat, yang berasal dari kalangan mujahid, maka akan dipanggil dari pintu jihad, jika dia berasal dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” (HR. Bukhari dan Muslim)