Surah Al-Waqiah

Surah Al-Waqiah

Surah Al-Waqiah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqiah kerana diambil dari lafaz Al-Waqiah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat.

Di dalam surah Al-Waqiah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan juga penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah SWT dan adanya hari berbangkit.

Surah Al-Waqiah merupakan surah yang dikenali sebagai salah satu surah yang penuh barakah dan memiliki banyak khasiat yang besar pada kehidupan manusia. Bagi anda yang sering kekurangan wang, sempit rezeki, kedudukan ekonomi yag tidak stabil maka inilah rahsia yang patut anda tahu.

Kelebihan Surah Al-Waqiah Menjemput Rezeki Dan Memudahkan Urusan

1. Beroleh Pelbagai Kesenangan

Khasiat surah ini akan jelas terlihat apabila anda mengamalkannya sebagai rutin harian dalam kehidupan harian anda. Dengan izin Allah anda akan beroleh kesenangan dalam pelbagai bentuk.

Bukan sahaja hati akan terasa tenang malah anda tidak pernah akan merasa kesempitan wang ringgit. Pelbagai bentuk rezeki akan anda dapat tanpa anda sedari. Namun kebanyakan kefahaman orang adalah mereka menganggap rezeki itu hanya harta dan wang ringgit ssedangkan rezeki itu luas. Kesihatan, kekenyangan, kebahagiaan, pekerjaan juga adalah rezeki dan nikmat.

2. Dijauhkan Dari Kemiskinan

Apabila seorang muslim itu mula mengamalkan Surah Al-Waqiah sekurang-kurangnya satu kali setiap malam, secara tidak langsung dia akan dijauhkan dari kemiskinan.

Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud barangsiapa yang membaca Surah Al-Waqiah pada setiap malam, nescaya kebuluran tidak akan sekali-kali menimpanya.

Rasulullah yang maksum dan merupakan utusan Allah yang mulia itu sendiri mengajarkan puteri-puterinya dan isteri-isterinya supaya membaca Surah Al-Waqiah pada setiap malam jadi apatah lagi kita sebagai seorang manusia biasa lagilah seharusnya rajin untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

3. Dikurniakan Kekayaan Yang Melimpah Ruah

Membacanya sebanyak 14 kali selepas selesai solat Asar, Insya’Allah akan dikurniakan oleh Allah kekayaan yang berlimpah-ruah. Jika seseorang itu membaca dengan niat ikhlas cuma untuk mendapat beberapa keping wang dan bukan untuk tujuan riak dan semata-mata untuk memenuhi kekayaan hati iaitu kepuasan rohani dan ukhrawi, maka insya’Allah dengan sendirinya kekayaan duniawi akan menyusul dengan berlimpah ruah.

4. Ditunaikan Segala Hajatnya

Sesetengah orang berpendapat bahawa untuk lebih mujarab, seorang muslim itu harus mengamalkan surah ini sebanyak 41 kali dalam satu majlis supaya segala hajatnya akan dimakbulkan khususnya yang berkaitan dengan rezeki.

Sebahagian ulamak pula berfatwa bahawa sesiapa sahaja yang membaca surah ini pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali selama 40 hari, sesungguhnya Allah akan mempermudah rezekinya dan menunaikan hajatnya dengan tanpa kesusahan dan mengalir terus dari pelbagai sudut dengan berkahnya.

5. Menjadi Seorang Yang Lebih Bersyukur

Sering mempraktikkan surah ini untuk mengelakkan diri dari menjadi seorang yang takbur apabila telah dikurniakan kekayaan yang tidak terhingga.

Amalkan membacanya sebanyak 3 kali selepas Solat Subuh dan 3 kali selepas Solat Isyak, Insya’Allah anda akan menjadi orang kaya yang sentiasa bersyukur, tidak lokek berkongsi rezeki dengan yang memerlukan dan tidak akan terdetik rasa di hati bahawa selalu memberi dan bersedekah itu boleh mengurangkan harta kekayaan atau suatu pembaziran.

6. Menjauhkan Diri Dari Sifat Riak dan Bongkak

Dapat menghindarkan diri dari menjadi bongkak dan riak. Anda akan dilimpahkan rezeki yang pelbagai dan secara tidak langsung, anda juga akan dapat menghindari dari sifat riak dan bongkak apabila memiliki sebarang kekayaan atau kesenangan dunia.

Apabila tiada sifat riak atau bongkak yang lahir di jiwa sanubari seseorang maka mudahlah untuk dia menolong dan membantu orang lain yang memerlukan bantuan.

7. Menjadikan Raut Wajah Lebih Berseri-seri

Bukan hanya berwuduk dan solat dapat menaikkan seri wajah. Membaca dan mengamalkan Surah Al-Waqiah juga boleh membantu menaikkan seri wajah.

Selain mengamalkan bacaan selepas solat, anda boleh mengambil segelas air dan bacalah Surah Al-Fatihah sekali dengan Surah Qursi dan juga Surah Al-Waqiah bermula dari ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Dalam hati, berniatlah untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan keluarga anda, Insya’Allah raut wajah akan tampak jernih dan bersih lagi berseri-seri.

8. Permudahkan Orang Sakit Atau Bersalin

Surah ini juga sesuai diamalkan dan dibaca di sisi mayat atau orang yang sedang nazak. Kelebihan surah Al-Waqiah ini adalah untuk memudahkan roh keluar dari jasadnya dan mengurangkan kesakitan. Ia dapat mengelakkan daripada mereka terus nazak dan lebih menderita.

Apabila surah ini dibaca kepada mereka yang sedang tenat maka akan diringankan azab kesakitannya. Boleh juga diamalkan dan dibaca di sisi wanita yang hendak bersalin supaya urusan bersalin lebih cepat dan dipermudahkan.

Kesimpulanya

Itulah dia kelebihan Surah Al-Waqiah menjemput rezeki dan memudahkan urusan. Jelaslah bahawa Surah Al-Waqiah mempunyai pelbagai khasiat dan fadhilat yang ramai tidak tahu. Jika ada masa, bukalah Al-Quran dan hayatilah maksudnya.

Rujukan sumber : bidadari.my

 

Kongsikan Artikel Ini

Facebook
Telegram
Email
WhatsApp
Twitter

Artikel Berkaitan